Anda di sini

Sarawak minat bangunkan pelancongan Miri, Brunei

Advertisement

MIRI: Sarawak amat berminat untuk menjalinkan usaha sama dengan kerajaan Brunei Darussalam bagi mempromosi dan membangunkan industri pelancongan di bandar raya peranginan Miri dan negara kesultanan itu.

Cadangan untuk membangunkan usaha sama tersebut disuarakan oleh Menteri Muda Perhubungan yang juga Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin semasa mesyuarat tidak rasmi Menteri Pelancongan Brunei di Kuching, baru-baru ini.

“Saya gembira, cadangan tersebut mendapat maklum balas yang positif daripada menterinya (negara Brunei).

“Maklum balas memberangsangkan ini sekali gus membuka jalan bagi kita untuk menganjurkan mesyuarat rasmi membabitkan kementerian dan penggiat industri pelancongan dari Miri dan Brunei,” jelas Lee ketika mengulas mengenai pertemuan tersebut.

Tanpa menyatakan tarikhnya, Lee memberitahu mesyuarat rasmi yang pertama, dijangka diadakan di Miri kelak.

Antara usaha sama yang dijangka dicadangkan pada mesyuarat tersebut kelak ialah pakej pelancongan bagi mempromosikan tempat-tempat menarik di Miri dan Brunei.

“Menjual dan mempromosikan tempat-tempat menarik di Miri dan Brunei dalam satu pakej, pastinya akan menjadikan lawatan oleh pelancong ke sini dan Brunei sebagai sesuatu yang amat berbaloi untuk setiap nilai wang yang dibelanjakan mereka,” jelas Lee.

“Lawatan ke Miri dan seterusnya ke Brunei akan menjadi tarikan tambahan dan seterusnya ‘memanjangkan’ lawatan mereka di Miri dan begitu juga sebaliknya bagi pelancong yang melawat ke Brunei,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa para penggiat industri pelancongan dan penyedia perkhidmatan di sini supaya mencari ruang dan merebut peluang tersebut untuk menjalin kerjasama serta tampil dengan pakej-pakej lawatan menarik.

“Miri dan Brunei agak rapat dengan satu sama lain, pastinya akan menjadi destinasi menarik bagi pelancong yang datang sama ada ke Miri mahupun Brunei.

“Bukan hanya mereka boleh melawat dua negara dan dua buah bandar raya yang berbeza dalam satu lawatan, malah paling penting ia menjimatkan kos mereka,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata bagi pihak kerajaan negeri pula, agensi terbabit akan melihat kepada beberapa kemungkinan untuk mengurangkan pita merah seperti visa lawatan untuk pelawat yang datang kedua-dua destinasi (Miri dan Brunei).

“Pada masa yang kerajaan negeri melalui agensi berkaitan juga akan membantu dalam usaha mempromosi dan menjual pakej-pakej lawatan kedua-dua destinasi ini,” tambah Lee.

Advertisement