Anda di sini

Rumah sewa pelajar IPTS dirompak lelaki bersenjata

Advertisement

KUCHING: Trauma selepas dilibas parang, seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) hanya mampu berdiam diri melihat dua perompak melarikan empat komputer milik rakannya, awal pagi semalam.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku di sebuah rumah sewa yang didiami oleh sembilan pelajar IPTS tersebut di Jalan Setia Raja di sini, sekitar jam 1 pagi.

Menurut seorang daripada pelajar tersebut, semasa kejadian hanya tiga daripada mereka berada di dalam rumah.

“Hanya tiga sahaja rakan saya berada di rumah kerana saya dan tiga lagi rakan keluar makan dan dua lagi masih bercuti.

“Saya difahamkan, dua lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan parang telah memasuki rumah kami dan bertindak melibas parang ke arah seorang daripada rakan saya yang baharu terjaga daripada tidur sebagai tanda amaran sebelum kedua-dua mereka (suspek) mengambil semua komputer riba kami.

“Kurang daripada 10 minit selepas itu, perompak tersebut yang bertutur dalam dialek Melayu Sarawak kemudian terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh kesemua pelajar tersebut di Balai Polis Simpang Tiga selepas itu.

“Apa yang paling menyedihkan ialah semua maklumat serta apa sahaja yang berkaitan dengan pengajian kami, semuanya ada dalam komputer riba tersebut. Sekarang semuanya hilang,” kata pelajar tersebut lagi.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki yang dikehendaki pihak polis berjaya ditahan selepas dilihat menunggang sebuah motosikal curi semalam.

Menurut sumber, suspek ditahan beberapa anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di Tabuan Foochow di sini, sekitar jam 1 petang semalam Difahamkan, waran tangkap untuk menahan suspek berusia 29 tahun telah dikeluarkan selepas dia gagal hadir di mahkamah berhubung kes curi kenderaan baru-baru ini.

Motosikal yang ditunggangi suspek semasa ditahan dilaporkan hilang di kawasan Sekama, di sini pada 24 Februari tahun lepas.

Suspek yang juga memiliki rekod jenayah lampau sehingga berita ini ditulis semalam masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Advertisement