Anda di sini

PPM rampas 200kg ikan dibom

Advertisement

IKAN hasil tangkapan menggunakan bahan letupan yang berjaya dirampas oleh PPM dalam operasi berkenaan.

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas lebih 200 kilogram ikan pelbagai jenis yang dipercayai hasil tangkapan menggunakan bahan letupan dalam pelaksanaan Ops Cantas Perairan di Pantai Sikuati, dekat sini, baru-baru ini.

Komander Polis Marin Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, dalam insiden berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu, sepasukan anggota mengadakan serbuan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pengeboman ikan di perairan berkenaan.

“Setibanya anggota kita di lokasi terbabit, terdapat kira-kira 10 buah bot pam di sekitar perairan itu yang dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran bot ronda PPM, kesemua bot pam di situ bertindak melarikan diri ke Pantai Sikuati di kawasan hutan berhampiran.

“Hasil tindakan tangkas, kita akhirnya berjaya menahan empat bot pam termasuk beberapa barangan serta ikan yang dipercayai diperoleh oleh individu terbabit menggunakan bahan letup,” katanya sambil menambah, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu.

Selain 200 kilogram ikan, pihaknya turut merampas beberapa alat kelengkapan menyelam yang difahamkan diguna oleh suspek untuk aktiviti bom ikan berkenaan.

Mohamad dalam pada itu berkata, PPM kemudiannya melaksanakan pemeriksaan di kawasan pasar ikan Kudat bagi mengesan aktiviti penjualan ikan yang dibom namun tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan.

“Sehubungan itu, operasi ini akan dijalankan dari masa ke semasa bagi mencegah kegiatan bom ikan di seluruh perairan negeri Sabah.

“Oleh demikian, kita meminta kerjasama orang ramai agar segera tampil menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kegiatan itu di kawasan mereka,” katanya.

Advertisement