Anda di sini

Pelbagai buah dijual murah di seluruh negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis buah seperti nanas, betik dan anggur merah dijual murah di beberapa tempat di seluruh negara semalam, berita baik untuk para penggemar buah.

Bayangkan nanas dijual cuma 98 sen sekilogram di Mydin Kota Baharu, Kelantan, jauh lebih murah berbanding di Pasar Raya Econjaya, Jerteh Terengganu pada harga RM5.40 sekilogram dan RM5 sekilogram di Pasar Basah Taman Tun Sardon, Pulau Pinang.

Harga buah-buahan itu dipapar menerusi portal www.1pengguna.com Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyenaraikan harga pelbagai jenis barang keperluan harian mengikut premis dan negeri.

Betik dijual dengan harga 99 sen sekilogram di Pasaraya Econsave Skudai Parade Johor Baharu berbanding RM4.49 di Cold Storage, KLCC dan RM5 sekilogram di Pasar Basah Binjai, Kemaman, Terengganu.

Anggur merah yang biasanya dijual mahal, cuma RM2 sekilogram di Pasar Tuaran, Sabah berbanding RM9.88 sekilogram di Boulevard Hypermarket Kuching.

Di Semenanjung, anggur merah pada harga serendah RM6.90 sekilogram boleh didapati di Econsave Kluang, Johor dan Pasar Raya Aneka Baling.

Selain buah-buahan itu, pisang berangan turut dijual murah serendah RM2 sekilogram di Pasar Basah Sungkai, Perak dan Pasar Umum Semporna, Sabah berbanding RM5.98 sekilogram di Tesco Shah Alam dan RM5.99 di Cold Storage Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Tomato turut dijual murah serendah RM1.60 sekilogram di Pasar Billion, Lencong, Kedah dan Aneka Retail Tanah Merah, Kelantan berbanding RM7.59 sekilogram di Carrefour Seberang Perai, Pulai Pinang dan RM7.90 sekilogram di Pasar Aktif, Jerantut Pahang.

Tembikai merah berbiji cuma dijual 99 sen sekilogram di Servay Hypermarket Store, Putatan, Sabah berbanding RM3.99 di Giant Padawan, Sarawak.

Di Semenanjung, tembikai jenis itu itu dijual serendah RM1.29 sekilogram di AEON Batu Pahat, Johor dan AEON Wangsa Maju Kuala Lumpur berbanding RM4.90 sekilogram di Bandar Baru Supermarket, Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Tembikai merah tanpa biji juga dijual cuma 99 sen sekilogram di Giant Melaka berbanding Pasar Raya Mercato, Hartamas pada harga RM5.99 seklogram dan RM3.20 sekilogram di Pasar Port Dickson, Seremban. — Bernama

Advertisement