Anda di sini

Motosikal hilang semasa pemilik solat subuh

Advertisement

TAWAU: Sebuah motosikal dilaporkan hilang disyaki dicuri semasa pemiliknya sedang menunaikan Solat Subuh di Masjid Babus Salam, Tanjung Batu Darat, di sini, Isnin lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, kehilangan motosikal jenis Honda EX5 itu hanya disedari kira-kira jam 5.25 pagi oleh mangsa yang berusia 53 tahun.

“Berikutan kes ini, mangsa menanggung kerugian kira-kira RM5,400,” katanya di sini kelmarin sambil mengesahkan mangsa sendiri tampil membuat laporan di IPD Tawau.

Awang berkata, nombor plat kenderaan mangsa adalah ST692T dan mangsa meninggalkan motosikalnya yang berwarna merah itu di perkarangan sebelum masuk ke dalam masjid.

Bagaimanapun, mangsa terkejut selepas mendapati motosikal yang ditinggalkannya dalam keadaan berkunci sebelum itu secara tiba-tiba didapati hilang dari tempat parkir.

Awang meminta saksi kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan motosikal mangsa supaya segera menyalurkannya kepada polis.

“Kita harap orang ramai khususnya saksi-saksi kejadian dapat membantu siasatan polis terhadap kes ini dan tidak bersubahat dengan penjenayah terlibat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik-pemilik motosikal supaya berhati-hati sebelum meninggalkan motosikal masing-masing dengan memasang kunci pendua.

Menurutnya, langkah memasang kunci pendua itu perlu dibuat untuk memastikan tidak ada sebarang ruang atau peluang yang dibuka kepada penjenayah menjalankan kegiatan mereka.

Advertisement