Anda di sini

Masalah tekanan air rendah tidak lagi hantui penduduk

Advertisement

TAKUNGAN AIR: Tangki takungan air di Kampung Tebaro mampu membekalkan air bersih kepada keseluruhan penduduk.

LUNDU: Masalah tekanan air rendah tidak lagi membelenggu penduduk empat buah kampung daerah ini selepas kerja menaik taraf sistem bekalan air dilaksanakan di bawah iM Sarawak: Projek Air Bersih.

Kerja menaik taraf itu merangkumi penukaran paip PVC lama kepada ‘polypipe’ di Kampung Tebaro dan Kampung Jampari di sini.

Pembesaran empangan serta pembinaan dua tangki takungan di Kampung Senibong dan Kampung Prian di sini juga merupakan kerja menaik taraf yang dijalankan.

Menurut Ketua Kampung (KK) Kampung Tebaro, Lian Digai sebelum ini penduduk kampung menghadapi masalah air terutamanya pada tengah hari kerana tekanan air rendah.

“Sebelum kerja menaik taraf ini dijalankan kami terpaksa menyimpan air kerana berlaku tekanan air rendah terutamanya pada waktu puncak (tengah hari),” katanya.

Beliau berkata, masalah tekanan air rendah berlaku sebelum ini memberi kesukaran kepada kira-kira 500 penduduk Kampung Tebaro.

“Kita susah untuk memasak, mandi dan minum. Ini kerana kami bergantung sepenuhnya kepada sumber ini untuk mendapatkan air bersih,” ujarnya.

Bagi KK Kampung Senibong, Maxwell Jelly Mounsey kerja menaik taraf yang siap bulan lalu ternyata melegakan penduduk kampung yang sebelum ini sering berdepan masalah tekanan air rendah.

“Dahulu tekanan air memang rendah. Kami berdepan masalah untuk melakukan aktiviti harian,” jelasnya.

KK Kampung Prian, Anderu Simun pula berkata sebelum ini paip PVC yang menyalurkan air bersih ke kampungnya kerap bocor.

“Sekarang dengan menggunakan ‘Polypipe’ masalah paip bocor tidak lagi berlaku,” kata Anderu.

Advertisement