Anda di sini

Lelaki cedera ditemui terbaring di tepi jalan

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki berbangsa Cina berusia 30 tahun ditemui terbaring dan tercedera di tepi jalan di Jalan Brooke Drive di sini, petang semalam.

Orang awam yang prihatin membawa mangsa yang masih separuh sedar untuk mendapat rawatan di sebuah klinik swasta yang berdekatan.

Pihak klinik kemudiannya menghubungi polis untuk melakukan siasatan selepas mangsa mendapatkan rawatan.

Isteri mangsa juga telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut setelah dimaklumkan oleh polis.

Mangsa didapati patah beberapa batang gigi dan mengalami beberapa kesan lebam di badannya.

Bertindak daripada maklumat, polis telah mendapati mangsa dipercayai dibelasah oleh beberapa orang di dalam sebuah kereta.

Polis yang melakukan siasatan awal telah berjaya menahan enam orang lelaki yang dipercayai mencederakan mangsa sebelum itu.

Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 30-an telah direman tujuh hari semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

Dalam kes yang berasingan seorang remaja lelaki 16 tahun berbangsa Melayu dikejarkan ke Hospital Sibu dari Sibu Jaya selepas mangsa ditemui orang awam di tepi jalan raya kerana mengalami lebam-lebam di muka dan badan malam kelmarin.

Mangsa dipercayai dibelasah oleh orang yang tidak dikenalinya namun punca kes tersebut belum dapat dipastikan.

Ambulans yang dihubungi orang awam telah membawa mangsa ke Hospital Sibu sekitar jam 10 malam.

Advertisement