Anda di sini

Kes demam denggi di Miri di tahap membimbangkan

Advertisement

MIRI: Kes demam denggi di Miri berada pada tahap amat membimbangkan selepas mencatatkan 17 kes sepanjang bulan Januari lepas berbanding kebiasaannya kurang daripada 10 kes.

Berikutan itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai mengingatkan penduduk bandar raya ini agar membersihkan persekitaran kediaman yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Luangkan masa untuk membersihkan segala tempat yang membolehkan nyamuk membiak seperti bekas-bekas takungan air, pasu bunga, tayar terpakai dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui di bilik mesyuarat MBM semalam.

Lawrence berkata, langkah pencegahan sedemikian adalah lebih terbaik daripada kaedah penyemburan asap atau ‘fogging.’

“Kita dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kesihatan bahawa ‘fogging’ yang kerap akan menyebabkan nyamuk imun terhadapnya dan tidak berkesan,” jelasnya.

Paling berkesan ialah menghapuskan nyamuk aedes semasa di peringkat larva, iaitu ketika ia masih berada dalam air.

“Sebab itulah pencegahan pembiakan nyamuk melalui pembersihan kawasan rumah adalah paling bagus,” ujarnya.

Lawrence tidak menafikan bahawa kes denggi dicatatkan paling tinggi pada Januari lepas kerana keadaan cuaca yang kerap hujan ketika itu.

“Air ketika hujan menyebabkan banyak air bertakung dalam bekas-bekas takungan yang tidak dibuang,” tambah beliau.

Setakat ini, antara kawasan yang mencatatkan kes terbanyak ialah Pujut Tanjung Batu/Padang Kerbau lapan kes, Desa  Senadin  tiga kes, Permyjaya dua kes, manakala kawasan jalan Miri-Bintulu, Mosrjaya, Pujut 1 dan Lutong masing-masing mencatatkan satu kes.

Advertisement