Anda di sini

Kerajaan Selangor pantau penggunaan dana PKNS

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor semalam memutuskan untuk memantau perbelanjaan dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan terdapat isu melibatkan tatacara penggunaan dan perbelanjaan dana yang perlu diperbaiki.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemantauan itu melibatkan dana perbelanjaan untuk pasukan bola sepak PKNS sebanyak RM9 juta setahun, pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) RM30 juta setahun.

“Kita juga akan me-mantau perbelanjaan kelab sukan PKNS yang didakwa menyalahgunakan dana bola sepak yang siasatannya masih belum selesai oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini semalam.

Abdul Khalid berkata pihaknya melantik tiga Exco iaitu Iskandar Abdul Samad, Datuk Teng Chang Kim dan Rodziah Ismail untuk memantau perbelanjaan dana-dana PKNS.

Dalam pada itu ketika di-tanya adakah beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya dipersetujui sebulat suara Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid berkata: “Saya tidak diwajibkan untuk menjawab soalan ini kerana ia akan memberi kesan negatif dan positif.”

Abdul Khalid, yang juga Pengarah Pilihan Raya PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berkata isu jawatan Menteri Besar tidak seharusnya timbul sekarang kerana beliau mahu memastikan kelancaran gerak kerja jentera PRK itu yang akan berlangsung pada 23 Mac.

Abdul Khalid juga enggan mengulas apabila di-tanya berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menjemputnya menyertai parti itu. — Bernama

Advertisement