Anda di sini

Imigresen Lahad Datu tahan 36 PTI

Advertisement

Menerusi Ops 5P Bersepadu di satu kawasan bengkel

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Daerah Lahad Datu menerusi Operasi 5P Bersepadu menahan seramai 36 orang pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu serbuan yang dilakukan bertempat di satu kawasan bengkel, pagi kelmarin.

Ketua Imigresen Daerah Lahad Datu Matusin Lamsahaini berkata, operasi kedua yang dijalankan selama dua jam bermula 9 pagi dan turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu melibatkan seramai 55 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Ismail Useh.

Katanya, menerusi operasi itu, pihaknya memeriksa seramai 60 pekerja, yang mana hasil pemeriksaan lanjut Jabatan Imigresen menahan seramai 36 warga asing selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta berbuat demikian.

“Daripada 36 orang yang ditahan, 22 adalah lelaki dan 14 perempuan, kesemua mereka berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40 tahun,” katanya sambil menambah, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu,  pihaknya turut menganggarkan seramai 30 warga asing yang lain berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa ke lokasi terbabit.

“Kesemua mereka dilihat bertempiaran lari sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa ke lokasi itu. Namun usaha-usaha yang dilaksanakan oleh setiap pegawai serta anggota pasukan turut menunjukkan keberhasilan yang memuaskan,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen bersama lain-lain agensi akan mempergiat dan mempertingkatkan lagi operasi-operasi seumpamanya dari masa ke semasa untuk terus membendung kemasukan warga asing ke daerah ini secara haram.

Advertisement