Anda di sini

‘Hooligan’ tidak dialu-alukan

Advertisement

ABDULLAH

Tindakan tegas diambil terhadap samseng bola sepak yang timbulkan kekacauan

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana samseng bola sepak atau ‘hooligan’ yang menimbulkan kekacauan di Stadium Negeri.

Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi menegaskan, persatuan akan bekerjasama dengan pihak polis dan RELA bagi mengenal pasti individu yang terlibat dengan ‘hooligan’.

“Kita akan mengadakan kawalan dan siasatan awal dengan kerjasama pihak polis bagi mengenal pasti kumpulan samseng ini setiap kali sebelum perlawanan bermula,” menurut Abdullah semasa sidang media semalam.

“Sebaik ditahan, samseng bola sepak ini tidak akan dibenar memasuki stadium kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan di dalam stadium.”

Abdullah menegaskan lagi, pihaknya juga akan menahan penyokong yang membawa dan memakai topeng di dalam stadium.

Jika perlu katanya lagi, penyokong terbabit akan dihantar balik dengan kerjasama pihak polis dan RELA supaya keselamatan dalam stadium terkawal.

“Kalau kita datang ke stadium dengan niat untuk memberi sokongan, mengapa kita perlu menutup muka?” tegas beliau.

Menurut Abdullah, pihak keselamatan FAS dengan kerjasama polis akan ditempatkan di beberapa zon di luar stadium bagi membuat rondaan dan memantau aktiviti ulat parking.

“Kita telah mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terlibat dalam perkara ini dan mereka ini mungkin akan ditahan untuk siasatan lanjut.”

Beliau juga mengingatkan para penyokong agar tiba awal di stadium memandangkan tempat letak kereta sangat terhad.

Katanya lagi, FAS juga akan bekerjasama dengan polis dan RELA bagi memperketatkan kawalan di dalam dan luar stadium bagi memastikan barangan terlarang terutama mercun dan suar tidak dibawa masuk.

Setakat semalam, sebanyak 5,000 tiket perlawanan Liga Super antara Sarawak dan Perak pada Sabtu ini telah ditempah.

Sementara itu, FAS akan menganjurkan sesi perjumpaan pemain pasukan Sarawak dengan pelajar SMK Demak Baru dari 3-4 petang ini.

Ia diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah beramah mesra dengan pemain kesayangan mereka.

Advertisement