Anda di sini

Guru setuju kajian semula PBS

Advertisement

Disifatkan langkah tepat dalam menambahbaik sistem berkenaan

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh mendapat respon positif dari kalangan guru.

Kebanyakannya menganggap kajian semula itu akan membantu meningkatkan kualiti pelaksanaan PBS.

Bagi Sabtu Madan, tindakan kerajaan untuk menangguhkan PBS adalah satu langkah yang tepat dalam menambahbaik sistem berkenaan.

Menurutnya, masalah kesukaran memasukkan maklumat ke dalam pangkalan data menjadi cabaran utama kepada guru yang mengendalikan PBS.

“Sebaiknya sistem ini perlu diperbaiki lagi dan kalau boleh tidak perlu dibuat menggunakan internet.

“Ini kerana, bagi kawasan sekolah yang ada masalah liputan internet, ia lebih membebankan guru berkenaan untuk menyiapkan PBS,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kuala Penyu ini turut berharap kajian semula ini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi para guru yang terlibat dalam PBS.

Guru di SMK Agama Tun Datu Mustpha, Papar Petrasia Serlly Pius berkata, PBS sangat membebankan guru-guru dan seharusnya sistem itu dikaji sebelum dilaksanakan.

Katanya, kajian terhadap PBS seharusnya dilakukan lebih awal sebelum ia dilaksanakan di peringkat sekolah.

“Masalah PBS ini adalah proses memasukkan data ke dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang mengambil masa terlalu lama berikutan kelemahan sistem itu,” katanya.

Petrasia berkata, disebabkan kelemahan berkenaan, data PBS tahun lalu juga belum sepenuhnya dapat dimasukkan.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem ini menyebabkan guru berhadapan dengan bebanan kerja yang banyak.

“Kerja PBS terpaksa dibawa pulang ke rumah. Dengan sistem yang lembab, guru-guru terpaksa menghabiskan masa depan komputer untuk memasukkan data dalam SPPBS.

Seorang lagi guru yang terlibat dalam PBS Norzizie Jainudin berpendapat PBS adalah satu sistem yang bagus untuk dilaksanakan.

Namun katanya, banyak aspek yang perlu diambil kira dalam pelaksanaannya termasuklah keadaan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah liputan internet.

“Selain itu, ada dari kalangan guru yang terlibat dalam PBS menerima maklumat yang tidak sama berkaitan arahan penggunaan PBS.

“Perkara seperti ini menimbulkan kekeliruan kerana maklumat yang diberikan pihak jabatan atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak selaras,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memuji usaha Kementerian Pelajaran dalam mencari pelbagai pendekatan untuk membantu meningkatkan kualiti sistem pendidikan di negara ini.

Sementara itu, Guru SMK Beaufort Rozely Francis berkata, PBS sangat membebankan guru kerana proses memasukkan data itu mengambil masa yang lama.

Katanya, PBS melibatkan penilaian yang tidak telus kerana murid sebenarnya tidak mampu menjawab soalan semasa proses pengajaran.

Beliau berkata, PBS juga melambatkan proses pengajaran sebab guru terpaksa membuat banyak aktiviti.

Rozely berkata, proses penyediaan fail dan merekodkan data amat meremehkan terutama apabila hendak memasukkan data dalam SPPBS yang agak perlahan.

Sehubungan itu, beliau amat bersetuju dengan keputusan kementerian untuk menangguhkan PBS dan membuat kajian semula mengenainya.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan PBS bagi mengenal pasti rumusan yang lebih berkesan terhadap pelaksanaannya.

Advertisement