Anda di sini

Ejen pelancongan, hotel perlu bekerjasama pacu sektor pelancongan

Advertisement

KUANTAN: Kerjasama erat antara pihak hotel dan ejen pelancongan sangat penting bagi membolehkan sektor pelancongan di Pahang terus berkembang pesat dan berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelanco-ngan negeri Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerjasama itu sangat diperlukan kerana peningkatan sektor berkenaan turut bergantung dengan sektor makan dan minum serta pengangkutan.

“Apabila wujud kerja-sama erat antara dua pihak itu, bukan sahaja pihak hotel mendapat manfaat, malah ejen pelancongan dan Pejabat Pelancongan negeri juga akan mendapat manfaat.

“Kerjasama ini bukan saja untuk memastikan sektor pelancongan di negeri ini terus berkembang pesat tetapi kita bekerja dalam satu sektor yang perlu bersama menjaga kepen-tingan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Media dan Pengusaha Hotel bersama Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Pelancongan negeri Ishak Mokhtar, Pengarah Pejabat Pelancongan negeri Idros Yahya dan Pengarah Tourism negeri Mohd Faharuddin Hatmin.

Mohd Sharkar berkata selain itu, pihak hotel ataupun ejen pelancongan juga perlu menyediakan pakej yang menarik bagi memastikan pelancong terpikat untuk tinggal lebih lama di Pahang.

“Jika mereka tinggal dengan lebih lama, pastinya mereka juga akan berbelanja banyak sekali gus akan meningkatkan pendapatan negeri melalui sektor pelancongan,” katanya.

Mengenai dakwaan terdapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menghalang petugas membeli pakej pelancongan dengan ejen luar, Mohd Sharkar berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Saya ada dimaklumkan oleh ejen pelancongan bahawa ada pihak GLC yang cuba bersaing dengan mereka, bagi saya ini satu perbuatan yang tidak baik.

“Apa yang pihak GLC perlu lakukan adalah menggalakkan kakitangan membeli dengan ejen luar sebab itu hak mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement