Anda di sini

Dua kena penjara kerana curi pelbagai rempah sup

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan mencuri pelbagai jenis rempah sup dalam paket dari sebuah pasar raya di sini.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah Jackei Loy Jack Song dan Tabitha Unyang Ajang mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan ke atas mereka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah mencuri dua paket Milo, lima paket A1 Pak Cheng Soup, lima paket HMW Herbs Egg Spices, lima A1 Vegetarian Bakuteh dan 10 paket A1 Se Chuan Ta Poo Soup yang kesemuanya bernilai RM174.30 kepunyaan sebuah pasar raya di sini.

Jackei dari Kampung Lembah Hijau, Jalan Riam di sini dan Tabitha dari Long Miri, Baram masing-masing telah didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya terbabit yang terletak di Jalan Parry di sini.

Di hadapan mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu supaya dikenakan hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Advertisement