Anda di sini

Dua bulan keluar penjara, pencuri tegar dicekup lagi

Advertisement

DITEMUI SEMULA: Pasukan polis melakukan serbuan selepas suspek masuk ke dalam kereta yang dilaporkan hilang 10 Januari lepas.

SIBU: Baharu dua bulan keluar penjara seorang lelaki dicekup semula dalam satu serbuan polis kerana didakwa mencuri sebuah kereta Perodua Kembara malam kelmarin.

Suspek berbangsa Iban dan berumur 27 tahun yang pernah dipenjarakan selama setahun di sini atas kesalahan mencuri dalam bangunan dibebaskan pada November tahun lepas.

Kereta tersebut dilaporkan hilang oleh pemiliknya, seorang anggota polis dari Matu Daro di Jalan Long Bridge di sini pada 10 Januari lepas.

Menurut maklumat pengadu, dia juga kehilangan sepasang seragam polis, kasut dan kad kuasa yang disimpan di dalam keretanya.

Bertindak daripada maklumat, pasukan polis D4 telah melakukan pemantauan sejak beberapa hari lalu dan menjumpai kereta tersebut diparkirkan di sebuah pasar di Jalan Tiong Hua pada jam 11.30 malam.

Selepas polis menunggu beberapa minit di situ, seorang lelaki berbadan kurus muncul dan memasuki kereta tersebut.

Pihak polis terus bertindak menyerbu ke arah subjek dan berjaya memberkasnya.

Sebelum ini, suspek pernah ditahan kerana didakwa mencuri sebuah motosikal tetapi dibebaskan semula selepas dibicarakan.

Menurut polis, plat nombor pendaftaran kereta masih plat asal dan belum ditukar.

Selepas memeriksa barangan di dalam kereta tersebut, polis hanya menemui baju seragam dan kasut polis tetapi tidak menemui kad kuasa polis milik pengadunya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut dan telah direman semalam.

Advertisement