Anda di sini

Dr Mahathir nasihat pengundi Kajang utamakan nasib sendiri

Advertisement

CERIA: Dr Mahathir ceria selepas menerima cenderamata berupa buku sempena Majlis Seminar dan Forum Buku Perdana di Kuala Lumpur, semalam. Kelihatan (dari kiri) Dekan UniKL Datuk Mohd Mansor Salleh, Pengerusi YPBN Hasan Hamzah dan Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang harus mengutamakan nasib diri dengan memilih wakil yang benar-benar boleh berkhidmat untuk mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata siapa pun calon yang diletakkan oleh parti-parti politik yang bertanding tidak penting, berbanding khidmat yang mereka tawarkan untuk rakyat.

“Saya berpendapat Pakatan Rakyat tak mungkin beri khidmat yang baik untuk rakyat. Rakyat harus mengutamakan nasib sendiri. Kalau salah pilih sebab marah atau percaya tuduhan-tuduhan palsu terhadap BN (Barisan Nasional) dan kita pilih calon lawan, rugi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini semalam.

Pilihan Raya Kecil DUN Kajang akan diadakan 23 Mac ini berikutan peletakan jawatan secara mengejut Ahli DUN dari PKR, Lee Chin Cheh pada 27 Jan. PKR kemudian menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kerusi itu.

Ditanya mengenai keinginan PAS untuk meletakkan wakil mereka sebagai menteri besar Selangor, Dr Mahathir berkata PAS berhak memegang jawatan itu.

Dr Mahathir menegaskan bahawa pakatan pembangkang bukan seperti BN apabila ada satu parti yang dominan seperti UMNO dan pemimpinnya dipilih menjadi perdana menteri.

“Di Selangor, PKR bukan parti yang besar, tak patut bolot jawatan itu (menteri besar) selamanya.

“Anwar harap jadi calon sebagai perdana menteri pun, dia tiada hak meletak syarat itu kepada Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucaptamanya pada majlis itu, Dr Mahathir menggalakkan rakyat Malaysia untuk menulis setiap pengalaman dan ilmu yang mereka peroleh supaya dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. — Bernama

Advertisement