Anda di sini

BR1M 3.0 diserah terus jika penerima tiada akaun bank

Advertisement

KUCHING: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di negeri ini yang tidak mempunyai akaun bank akan menerima wang bantuan masing-masing secara serahan terus secara berperingkat-peringkat dari 23 Februari hingga 15 Mac ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata bagi Sarawak, seramai 332,054 daripada 594,765 penerima yang layak menerima BR1M 3.0 tidak mempunyai akaun bank dan kebanyakan mereka dipercayai menetap di luar bandar.

Beliau menambah, Sarawak mencatatkan jumlah penerima bantuan berkenaan yang paling ramai tidak mempunyai akaun bank.

“Mekanisme yang akan digunakan di Sarawak untuk mengagihkan bantuan kepada penerima tiada akaun bank difahami oleh kerajaan persekutuan iaitu mengikut modus operandi sebelum ini, diserahkan kepada penerima pada satu majlis diadakan oleh Pejabat Residen dan Daerah.

“Kita dinasihatkan agar majlis penyerahan dimulakan di peringkat negeri dan Parlimen kemudian di peringkat kampung,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Bagaimanapun, katanya, sama ada penerima berkenaan akan dibayar secara tunai atau menerusi baucar seperti sebelum ini, ia belum diputuskan lagi kerana ia akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau menambah, buat pertama kali kementeriannya dipertanggungjawab memantau serta menyelaras pengagihan BR1M dan pengagihan akan dilakukan oleh Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

“Manakala 262,771 penerima yang ada akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon pada 22 Februari ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkannya di peringkat kebangsaaan,” jelasnya.

Fatimah berkata, mereka yang layak menerima BR1M 3.0 akan mendapat notis pemberitahuan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Justeru, ujarnya ,orang ramai boleh menyemak status permohonan mereka di pejabat-pejabat LHDN terdekat termasuk di Pejabat Residen dan Daerah.

“Kementerian kita hanya selaku pemantau dan penyelaras, menentukan sama ada penerima layak atau sebaliknya, itu bidang kuasa LHDN dan Pejabat Residen dan Daerah berperanan sebagai pelaksana,” jelas beliau.

Advertisement