Anda di sini

Bapa tahanan reman mati dalam lokap berjaya tuntut ganti rugi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bapa seorang tahanan reman yang mati di penjara Sungai Buloh enam tahun lepas, semalam berjaya menuntut ganti rugi atas kecuaian yang berlaku ketika anaknya ditahan.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan M. Ghaur Chandram, 57, terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Pengarah Penjara Sungai Buloh dan empat yang lain dengan kos yang akan ditaksir kemudian.

Dalam penghakimannya, Hakim Nik Hasmat berkata terdapat kecuaian yang dilakukan pihak penjara Sungai Buloh ketika Uthayachandran, yang ketika ituberusia 23 tahun dan ditahan bagi kes dadah, berada dalam tahanan dan pihak responden sepatutnya bertanggungjawap dengan keselamatan dan kesihatan mangsa.

Ghaur Chandram, seorang pemandu teksi, memfailkan saman itu pada 2009 dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Pengarah Penjara Sungai Buloh sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau turut menamakan pegawai perubatan bertugas di Hospital Penjara Sungai Buloh, dua warden di penjara itu, serta kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden ketiga hingga keenam.

Hakim Nik Hasmat berkata berdasarkan keterangan saksi, terdapat fakta yang menunjukkan mangsa yang berada dalam lokap, telah dibawa turun ke bawah ketika proses catuan makanan berlaku dan pegawai penjara tidak menutup pintu hingga menyebabkan mangsa diserbu banduan lain.

Katanya perbuatan pegawai penjara berbuat demikian bukanlah perkara biasa yang dipraktikkan dalam peraturan penjara dan terdapat saksi yang mengakui bahawa mereka tidak dibekalkan dengan peralatan lengkap seperti ‘walkie talkie’ ketika kejadian.

Beliau berkata ketika itu, hanya enam atau tujuh pegawai penjara sahaja yang bertugas  mengawal 732 tahanan, dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Uthayachandran meninggal dunia pada 18 Mei, 2008. — Bernama

Advertisement