Anda di sini

Adenan pengemudi baharu

Advertisement

Taib akan meletak jawatan Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari ini

KUCHING: Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari ini menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan berkuat kuasa pada tarikh itu.

Taib berkata, peletakan jawatannya dan nama penggantinya telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada pertemuan di Astana, semalam.

Beliau yang ditemani Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, wakil SUPP Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani menyerahkan surat peletakan jawatannya pada kira-kira jam 3 petang.

“Beliau (Tun Salahuddin) tidak ada bantahan (terhadap peletakan jawatan saya) dan saya sungguh gembira semuanya berjalan lancar.

“Rakan-rakan (dalam PBB dan parti komponen BN) faham alasan saya untuk meletak jawatan dan setahu saya, mereka amat gembira melihat semua perkara sebelum ini akan berjalan seperti biasa,” ujarnya pada sidang media selepas perjumpaan itu.

Taib yang mula menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub pada 26 Mac 1981 berkata:

“Adenan mewakili seperti satu perjanjian antara tiga calon untuk memastikan semangat berpasukan yang sudah diterapkan selama ini.”

Menurutnya, Adenan, 70, yang kini merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Ketua Penerangan PBB, diyakini mampu meneruskan momentum pembangunan di Sarawak.

Taib, 78, yang juga Presiden PBB berkata, beliau tidak sedih apabila membuat keputusan penting itu setelah berada di kerusi berkenaan selama 33 tahun.

Beliau percaya telah memberi warisan terbaik kepada penggantinya yang disifatkannya sebagai berpengalaman.

“Saya tidak ada keraguan bahawa mereka sendiri berupaya membuat yang terbaik sama ada tanpa saya atau sebaliknya,” ujar pemimpin yang telah mengilhamkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) itu.

Berhubung jawatan Yang di-Pertua Negeri yang akan tamat tempoh pada tarikh sama, Taib enggan mengulas lanjut kerana jawatan itu merupakan lantikan Yang Dipertuan Agong.

Menurut Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar pada Sabtu lepas, Taib telah dicadangkan oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri seterusnya.

Asfia berkata, jawatan itu adalah sesuai bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Taib selama ini dalam mencorak dan melaksanakan pembangunan Sarawak sepanjang 33 tahun menjadi Ketua Menteri.

Taib berkata lagi, beliau akan mengosongkan kerusi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang dijawatnya sejak Pilihan Raya Negeri 2001.

“Kerusi Balingian sudah semestinya kosong, saya tak boleh kekal,” katanya.

Kekosongan itu, menurutnya, akan dimaklumkan oleh Ketua Menteri baharu kepada Asfia yang juga Speaker DUN.

“Selepas saya meletak jawatan, ia akan menjadi tanggungjawab Ketua Menteri baharu untuk memutuskan dan mungkin tugas pertamanya ialah berbincang dengan semua rakan-rakan dalam BN untuk calon di situ,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak ada calon untuk diletakkan menggantikannya di kerusi Balingian.

“Saya serahkan kepada Ketua Menteri (Adenan),” katanya sambil menambah, terserah kepada Adenan untuk melakukan rombakan kabinet negeri kelak.

Taib menyatakan hasrat untuk bersara pada Sabtu lepas pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, sekali gus diberi mandat penuh oleh mesyuarat itu untuk memilih penggantinya.

Manakala pada mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen BN pada keesokannya, mereka menyatakan persetujuan dan menghormati keputusan beliau itu.

CERIA: Taib melambai ke arah wartawan ketika meninggalkan Astana selepas mengadakan pertemuan dengan Tun Salahuddin untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

ADENAN

PROFIL TAIB

• Nama               : Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

• Tarikh Lahir   : 21 Mei 1936

• Tempat Lahir : Miri, Sarawak.

• Isteri                :

— Allahyarhamah Datuk Patinggi Puan Sri Dr Laila Taib

(meninggal dunia akibat kanser pada 29 April 2009)

— Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi Taib

(berkahwin pada 18 September 2010)

JAWATAN TERKINI

• Ketua Menteri Sarawak

• Menteri Kewangan Sarawak

• Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak

• Sarawak (BN-PBB) Ahli Parlimen bagi Samarahan

• Sarawak (BN-PBB) Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Balingian

• Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak

• Pro-Canselor UNIMAS Sarawak

• Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sarawak

PENDIDIKAN

• Sekolah Rendah St Joseph Miri

• Sekolah Menengah St Joseph Kuching

• Ijazah sarjana Muda (Undang-undang) Universiti Adelaide Australia Selatan.

KERJAYA

• 1962 – 1963  : Peguam Negara Sarawak

•            1963   : Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri Sarawak

• 1966 – 1967  : Menteri Pembangunan dan Perhutanan Sarawak

• 1968 – 1970  : Penolong Menteri Perdagangan dan Industri Persekutuan

• 1970              : Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri dan kemudian menjadi Timbalan

Menteri Kerja Raya, Pos dan Komunikasi.

•1972                         :  Menteri Perusahaan Utama

• September 1974     :  Menteri Perancangan Awam dan Penyelidikan

Sosio  Ekonomi

•06 Ogos 1975           :  Menteri Penerangan dan Tugas-Tugas Khas

di samping menjadi Menteri Perancangan Awam

dan Penyelidikan Sosio Ekonomi

• 31 Disember 1977  : Menteri Perusahaan Utama

• 27 Julai 1978           : Menteri Pertahanan

• Mei 1979                 : Timbalan Menteri Luar Negeri

• 16 September 1980 : Menteri Wilayah Persekutuan

• 09 Mac 1981            :  Meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah

Persekutuan untuk mengambil bahagian

dalam pilihan raya kecil negeri bagi kawasan

Sebandi.

• 11 Mac 1981           : Menteri Kabinet Negeri Sarawak

• 20 Mac 1981           : Menteri Tanah dan Galian Sarawak

• 26 Mac 1981

hingga kini   : Ketua Menteri Sarawak keempat meng

gantikan bapa saudaranya, Tun Abdul

RahmanYa’kub berundur atas alasan kesihatan

• 28 Februari 2014  :  Mengumumkan persaraannya sebagai Ketua

Menteri Sarawak.

 

PROFIL ADENAN

• Nama                  : Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (PSM, DA, PNBS, JBS, PBB).

• Tarikh Lahir      : 27 Januari 1944

• Tempat Lahir    :  Kuching

• Nama pasangan : Puan Sri Jamilah Anu

• Bilangan Anak   : Tiga orang anak, iaitu Rafidah, Hayati dan Aziz.

JAWATAN TERKINI

• Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas.

• Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.

• Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB)

PENDIDIKAN

• Sekolah Rendah: St Joseph School, Kuching.

• Pendidikan Tinggi: LL.B University of Adelaide (1970).

KERJAYA

• 1976                         :  Penasihat Undang-Undang dan Ahli Jawatankuasa Penasihat PBB

• Januari 1979           :  Bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Muara  Tuang pada Pilihan

Raya Kecil (PRK) pada Januari 1979 atas tiket (BN-PBB) dan menewaskan

Razali Sabang (PAJAR) dengan majoriti  2,797 undi.

• September 1979     :  Bertanding atas tiket (BN-PBB) pada PRN September 1979 beraya dengan

menewaskan Bujang Ali Nor (PAJAR) dengan majoriti 3,422 undi.

• 11 September 1983: Ahli Majlis Tertinggi PBB

— Dilantik semula Ketua Bahagian Publisiti PBB.

• Pilihan Raya Negeri Ke-4 Disember 1983 : (BN-PBB) sebagai ADUN Muara Tuang untuk penggal kedua apabila menewaskan

Abang  Ibrahim Abang Othman (Bebas) dengan majoriti 3,696 undi.

• PRN Ke-5 April 1987                                    : ADUN Muara Tuang untuk penggal  ketiga selepas menang majoriti 3,441 undi.

• 1987-1992                                                       : Naib Presiden PBB

• PRN Ke-6 1991                                              :  Menang dengan majoriti 8,272 undi dan menjadi ADUN Muara Tuang.

• 1992-1995                                                       : Naib Presiden PBB apabila menang tanpa bertanding.

• PRN Ke-7 September 1996                          : Menang tanpa bertanding sebagai ADUN Muara Tuang.

• 1995 – 1998                                                     : Naib Presiden PBB (menang tanpa bertanding)

• Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004: Menang atas tiket (BN-PBB) di kerusi Batang Sadong selepas menewaskan

Adam Ahid (PAS) dengan majoriti 9,731 undi.

• PRN Mei 2006: Bertanding di kerusi Tanjung Datu dan menang dengan majoriti 4,136 undi

selepas menewaskan calon PKR.

• 3 Mac 2007                    :  Ketua Penerangan PBB (dilantik).

• PRN Ke-10 April 2011:  Menang kerusi DUN Tanjung Datu apabila menewaskan

calon Bebas dengan majoriti 3,216.

Kerajaan:

• Pernah menjadi wartawan dan guru sekolah sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang

Undang-undang.

• 1970 -1972    : Majistret di Kuching.

• 1972 -1974    : Penasihat Undang-Undang Hal Ehwal Petroleum, Kementerian Perusahaan

Utama.

• 11 Julai 1985 : Menteri Muda, Pembangunan Tanah Sarawak

• 12 Mac 1987 : Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak

• 10/09/1992    : Menteri Pembangunan Sosial Sarawak

• 01 Januari 1998:  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak

• 28 September 2001:  Ahli Kabinet Negeri.

• 30 Mac 2004         : Mengangkat sumpah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Sarawak.

• 14 Februari 2006 :  Meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Sarawak apabila rombakan kecil kabinet.

• 2 April 2010 – 06 Jun 2011 :  Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri.

• 06 Jun 2011 :  Dilantik sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas

Khas.

• 30 September 2011 :  Beliau dikekalkan sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri

Advertisement