Anda di sini

Negara kukuh hasil dasar ekonomi baik

Advertisement

KUCHING: Komitmen padu kerajaan mewujudkan belanjawan negara yang sihat melalui dasar ekonomi yang baik meletakkan negara ini di kedudukan lebih kukuh dan mampu menjana momentum pembangunan lebih agresif pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sarawak (ACCCIS) Datuk Wee Kok Tiong berkata, beberapa bulan lalu, kerajaan telah mengambil beberapa dasar ekonomi dan fiskal yang ketara sebagai sebahagian daripada usaha bagi mengukuhkan struktur ekonomi di negara ini.

Katanya, melalui dasar fiskal dan kewangan tersebut, kesan rantaian kepada pasaran dapat diwujudkan, terutama untuk mengurangkan subsidi yang menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, mengakibatkan harga tinggi bagi barangan dan perkhidmatan.

“Berikutan harga barang dan perkhidmatan meningkat, kos sara hidup juga meningkat.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil tindakan yang perlu bagi mengurangkan turun naik pasaran yang sememangnya memberi kesan kepada rakyat.

“Sebagai entiti perniagaan yang bertanggungjawab juga, kita tidak boleh hanya menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tanpa alasan atau sebab.

“Kita mesti ingat bahawa, sekali harga pasaran terlalu tinggi dan tidak terkawal, ia akan membawa kepada inflasi dan memberi kesan kepada kuasa beli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran ACCCIS di sini, malam kelmarin.

Wee berkata, demi pembangunan ekonomi yang mapan pembaharuan merupakan satu-satunya jalan keluar.

“Pembaharuan bukan sahaja baik dalam mencegah kejatuhan ekonomi, tetapi juga boleh mewujudkan momentum baharu untuk pertumbuhan ekonomi.

“Jika rangka kerja ekonomi negara tidak berubah, terus memberi subsidi yang tinggi dan perbelanjaan awam yang tinggi, pasaran akan berada dalam kedudukan yang lemah untuk berdiri dalam krisis ekonomi global hari ini,” jelasnya.

Justeru, menjadi harapan persatuan dan peniaga di negeri ini untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi di bawah mekanisme yang betul, dengan pemeriksaan dan penambahbaikan secara berterusan.

Oleh demikian, katanya, ACCCIS akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dalam pelaksanaan pembaharuan ekonomi negara.

Selain itu, ACCCIS menggesa ahli-ahlinya untuk memantau dan mengawal kos pengeluaran supaya dapat mengurangkan kesan ke atas harga pasaran dan seterusnya membantu mengurangkan kos hidup serta mengekalkan kuasa beli yang sedia ada di pasaran dengan bijak.

Advertisement