Anda di sini

Muka lama, baharu akan bawa MDLBS lebih jauh

Advertisement

SIBU: Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor James Laju Ambok yakin gabungan muka lama dan baharu ahli majlis dapat membawa MDLBS melangkah lebih jauh berorentasikan perkhidmatan kepada pembangunan rakyat.

Katanya, kerjasama pada kalangan ahli majlis dan kakitangan MDLBS sangat penting dan perlu diselaraskan dalam usaha memenuhi tuntutan dalam kepesatan proses perbandaran.

Permintaan di kalangan penduduk semakin meningkat selain kepesatan proses perbandaran mengakibatkan PBT perlu berdepan dengan dengan isu-isu perbandaran yang semakin kompleks.

“Setiap pendekatan yang kita ambil juga harus berubah agar  releven dengan tuntutan semasa.

“Justeru itu, saya mahukan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya kalangan ahli majlis baharu dan lama serta kakitangan MDLBS,” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja dilantik semula sebagai Pengerusi MDLBS pada Majlis Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi serta Ahli-Ahli Majlis MDLBS semalam.

James berkata, pada kali ini MDLBS memiliki seramai 32 orang ahli majlis termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

Seramai 13 ahli majlis yang dilantik mewakili Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), PRS (lima), SPDP (empat), PBB (empat) dan pertubuhan bukan kerajaan (enam).

Daripada komposisi kaum, seramai 22 orang ahli majlis adalah Bumiputera manakala selebihnya berbangsa Cina.

Pada majlis berkenaan, James mendahului senarai anggota majlis mengangkat sumpah, diikuti Timbalan Pengerusi MDLBS yang baharu, Oliver Kuo di hadapan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Wong Soon Koh serta Setiausaha MDLBS, Justani Joni.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Datu Dr Penguang Manggil.

Advertisement