Anda di sini

Loji air baharu tampung keperluan

Advertisement

KEMUDAHAN RAKYAT: Mawan meninjau tapak pembinaan Loji Perawatan Air Bersih Kaki Wong di Saratok, semalam.

SARATOK: Sekitar 13,000 isi rumah bakal menikmati kemudahan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) apabila projek pembinaan Loji Perawatan Air Bersih Kaki Wong bernilai RM114 juta di sini siap sepenuhnya Mei depan.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pelaksanaan kemudahan itu secara tidak langsung mengatasi beberapa masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa tempat seperti di pekan Saratok, Kabong, Nyabor, Roban dan kawasan sekitarnya.

“Pada masa ini, masyarakat di daerah ini hanya bergantung kepada sumber air yang dibekalkan dari Loji Perawatan Air Bersih Nanga Lichok yang hanya mampu mengeluarkan air pada kadar 12 MLD (juta liter sehari).

“Disebabkan pertambahan penduduk dan pengguna dan faktor sumber air tidak mencukupi dari loji terbabit menyebabkan masalah gangguan kerap berlaku.

“Namun, kita tidak berpeluk tubuh untuk mengatasi masalah ini dan pihak berkaitan bersama pemimpin setempat serta kerajaan berusaha agar loji di Kaki Wong dibina.

“Ia mampu mengeluarkan kapasiti air pada tahap 25 MLD dan berfungsi sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya.

Mawan berkata demikian ketika ditemui media dalam siri lawatan kerja ke tapak pembinaan Loji Perawatan Air Bersih Kaki Wong dan Loji Perawatan Air Bersih Nanga Lichok, di sini semalam.

Loji Perawatan Air Bersih Kaki Wong yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari pekan Saratok merupakan salah satu loji terbesar di negeri ini.

Menurut Mawan, dengan siapnya loji itu akan mampu menampung keperluan penduduk di sekitar Saratok hingga tahun 2025 melibatkan penduduk di kawasan bandar, luar badar dan pedalaman.

“Pada masa ini, proses penyambungan paip ke kawasan rangkuman telah siap. Yang masih belum siap ialah beberapa kemudahan di tapak loji sahaja.

“Pembinaan loji berkenaan hingga Januari tahun ini pada paras 90 peratus siap berdasarkan peratusan kerja dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ini bermakna hanya tinggal 10 peratus sahaja kerja-kerja perlu disiapkan oleh pihak yang diamanahkan. Kita berharap penduduk di kawasan pedalaman yang bakal menikmati kemudahan ini sebelum Hari Gawai tahun ini,” ujarnya.

Tambah Mawan, gelombang kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dijangka bakal menyaksikan lebih banyak pembangunan dan kemajuan ditumpukan di luar bandar.

“Tumpuan fasa kedua NKRA memfokuskan sentuhan melengkapkan kemudahan kepada semua aktiviti pembangunan yang sedang dan dilaksanakan kerajaan pada pelaksanaan NKRA peringkat pertama.

“Usaha ini akan membolehkan rakyat khususnya luar bandar bakal menikmati segala kemudahan lengkap seperti masyarakat di bandar, sama ada aspek kemudahan jalan raya yang sempurna dan berkualiti, bekalan elektrik dan air yang mencukupi dan lengkap, peningkatan dari aspek sosioekonomi serta mempunyai kemudahan pendidikan terbaik,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikmal Abdullah, Pengurus Wilayah JKR Sarawak Vincent Tang serta ketua-ketua masyarakat.

Advertisement