Anda di sini

Lelaki menipu menerusi cabutan bertuah diburu

Advertisement

KLANG: Polis sedang mencari seorang lelaki yang menyamar sebagai pengurus pasar raya dan menipu pelanggan menerusi tawaran cabutan bertuah palsu di beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong berkata pihaknya menerima lapan laporan mengenai lelaki ini sejak 10 bulan lepas dengan jumlah kerugian sebanyak RM103,250.

Suspek didakwa menawarkan mangsa dengan hadiah pelbagai jenis kereta dan modus operandinya ialah dengan menyakinkan bahawa nombor resit pembelian mangsa sama dengan nombor enjin hadiah kereta cabutan bertuah itu, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata suspek kemudian memujuk mangsa memberikannya sejumlah wang bagi digunakan untuk menyediakan cukai jalan dan insurans kereta tersebut.

“Suspek menyasarkan golongan lelaki berumur sekitar 40-an atau yang sudah bersara sebagai mangsa dan setelah mangsa bersetuju memberikannya wang tunai, suspek akan terus menghilangkan diri,” katanya.

Mohd Shukor berkata menurut laporan polis yang diterima, lapan mangsa itu mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3,000 hingga RM30,000 seorang.

Orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati jika ditawarkan menyertai cabutan bertuah, dan jika mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki itu, mereka diminta menyalurkannya kepada ASP Chandran Ramasamy di talian 016-605 9999.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukor berkata polis sedang menjejaki tujuh lelaki warga tempatan bagi menyelesaikan pelbagai kes jenayah.

Mereka terdiri daripada R. Sivaneswaran atau dikenali sebagai Wany, 30, beralamat terakhir di Blok C, Tingkat 3, No. 1, Pangsapuri Bestari, Sri Perantau Pelabuhan Klang kerana terlibat dalam lebih 20 kes samun dan pecah rumah di sini.

Tiga adik-beradik kerana terlibat dalam kes bunuh iaitu M. Kamalathasan, 29, M. Loganathan, 28, dan M. Thacinamurty, 26, yang beralamat terakhir di No. 105, Jalan Serampang 1, Taman Sinaran Off Jalan Teluk Pulai, Klang.

M.Thanasegaran, 25, beralamat di No. 33, Jalan 42, Taman Bunga Melor, Jalan Meru, Klang; S. Jakathis, 26, di No. 36, Jalan Sentosa 36, Kawasan 19, Taman Bunga Melor, Klang dan A. Kumareswaran, 20, No. 6, Leboh Pulau Pinang 8, Taman Meru Jaya Off Jalan Meru, Klang kerana terlibat dengan satu kes berkaitan seksyen 302 Kanun Keseksaan tahun lepas. — Bernama

Advertisement