Anda di sini

Kerajaan digesa siapkan projek bekalan elektrik di Undup

Advertisement

KUCHING: Kerajaan dan pihak bertanggungjawab digesa untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di kawasan Undup, Sri Aman, yang didakwa tergendala sejak tahun lepas.

Gesaan itu disuarakan beberapa penduduk kawasan berkenaan ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald.

Menurut mereka, penyiapan dan bekalan elektrik itu telah dijanjikan oleh wakil rakyat mereka, terbiar sejak tahun lepas dan sehingga kini mereka masih hidup dalam kegelapan.

“Sebelum akhir tahun 2013, kami diberitahu akan menikmati bekalan elektrik yang dijanjikan, namun sehingga kini kami masih dalam kesusahan.

“Bagi mereka yang mempunyai enjin penjana kuasa mereka turut mengalami kesusahan kerana kos bahan bakar sekarang melebihi RM250 sebulan,” kata salah seorang daripada mereka, Nangkai Tungol.

Sementara itu, Leon yang turun padang mendapati tiang elektrik yang didirikan kini sudah dikerumuni lalang dan kabelnya masih terjuntai dalam keadaan belum disambung.

“Dengan itu, kami menggesa wakil rakyat di Sri Aman mengambil berat tentang perkara ini dan menepati janji mereka,” katanya.

Advertisement