Anda di sini

Kaunselor perlu lebih kreatif: Wong

Advertisement

ALBUM: Wong (tengah) bersama ahli-ahli majlis pada majlis berkenaan di Sibu semalam.

SIBU: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih kreatif merencanakan peranan masing-masing dalam memperkasa perkhidmatan PBT kepada masyarakat.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ahli majlis juga perlu berinteraksi dengan masyarakat dalam mengukuhkan silaturahim, bukan terbatas di kalangan ahli dan kakitangan PBT sahaja.

“Dari situ kita dapat mengenal pasti apa yang dikehendaki oleh rakyat.

“Malah, kita perlu menyelami dan mengenali masalah mereka untuk kita berasa selesa ketika bertugas,” ujarnya pada Majlis Pelantikan Pengerusi/Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) semalam.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti memberitahu, ahli majlis memainkan peranan cukup besar dalam memantapkan perkhidmatan sesebuah PBT.

Ini termasuklah memastikan setiap ahli majlis mempunyai perancangan teratur dalam menggerakkan aktiviti yang dianjurkan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut Wong, Sibu memiliki dua PBT iaitu Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), justeru kedua-duanya harus sentiasa bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Secara kebetulan saya juga wakil rakyat dari Sibu dan menteri yang bertanggungjawab terhadap hala tuju PBT.

“Jadi, saya sangat tegas terhadap kedua-dua PBT ini untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan harus setimpal dengan keperluan rakyat,” katanya.

Jelasnya, permintaan rakyat hari ini semakin tinggi dan sehingga ada yang membuat aduan terus kepada menteri.

“Bagi saya adalah wajar pihak PBT dipersalahkan seandainya tidak memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” tegasnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan dan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Pengerusi MDLBS Kaunselor James Laju Ambok dan Timbalan Residen Bahagian Sibu, Dr Zulfarzayadi Abdullah.

Advertisement