Anda di sini

Kastam Selangor patahkan cubaan seludup keluar 38 warga Indonesia

Advertisement

PELABUHAN KLANG: Kastam Selangor mematahkan cubaan menyeludup keluar 38 warga Indonesia termasuk dua wanita mengandung menggunakan sebuah bot kayu di kawasan muara Sungai Langat, Jugra, Sepang, Ahad lepas.

Pengarah Kastam Selangor Badaruddin Mohamed Rafik berkata turut ditahan tekong dan dua awak-awak yang juga rakyat Indonesia yang mengendalikan bot sepanjang 15 meter itu.

Dalam operasi jam 12.30 malam itu, pemeriksaan menemukan 31 lelaki dan 10 wanita berumur 20 hingga 50 tahun di atas bot berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Selat Melaka, katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Pelabuhan Barat, di sini semalam.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati 20 daripada mereka mempunyai pas lawatan yang tamat tempoh pada 2012, manakala baki termasuk tekong dan awak-awak tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Semasa diperiksa, kesemua warga asing terbabit duduk dalam keadaan berasak-asak di dalam bot yang biasanya diguna untuk mengangkut kayu bakau itu, katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan kini direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya. — Bernama

Advertisement