Anda di sini

Jururawat nyaris terbabas kereta dihempap dahan pokok

Advertisement

PECAH: Pengadu menunjukkan bahagian cermin hadapan kereta pacuan empat roda miliknya pecah selepas dihempap dahan pokok di Sibu pagi semalam.

SIBU: Malang nasib seorang jururawat masyarakat wanita apabila sebatang dahan pokok tepi jalan patah lalu menghempap kereta pacuan empat rodanya ketika sedang memandu melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pagi semalam.

Pengadu, 39, berasal dari Rumah Nuang, Kapit memandu dari Sibu Jaya ke bandar ini ketika dahan pokok yang dikatakan sudah reput menghempap keretanya pada jam 8.30 pagi itu.

“Saya hampir terbabas kerana terkejut dan panik ketika dahan pokok itu jatuh di atas bonet dan hadapan mata, namun nasib baik saya berjaya mengawal kereta dengan baik,” katanya.

Akibat insiden itu, bahagian bumbung kereta Isuzu miliknya kemek, cermin hadapan pecah dan bahagian bonet depan turut kemek.

Pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pagi semalam masih bimbang kerana tidak pasti sama ada tuntutan insurans dapat dilakukan bagi kerosakan keretanya.

Katanya, kemalangan yang dialaminya boleh terjadi kepada sesiapa sahaja namun untuk menggelak insiden berulang pihak berkuasa tempatan perlu memeriksa keadaan pokok-pokok di sepanjang jalan itu sekiranya perlu diselenggarakan.

“Pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa memantau keadaan pokok-pokok di situ dan memastikan dahan-dahan pokok yang sudah reput dipotong agar tidak membahayakan pengguna jalan raya,” ujarnya.

Pengadu berharap cadangannya mendapat perhatian pihak berkenaan bagi memberi jaminan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang laluan Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

“Nasib saya tidak mengalami sebarang kecederaan akibat dahan pokok itu yang menghempap kereta saya, tapi bayangkan jika seorang penunggang motosikal dihempapnya mungkin nyawa akan melayang,” katanya.

Laporan polis mengenai insiden tersebut dibuat oleh pengadu di Balai Polis Sentral tengah hari semalam.

Advertisement