Anda di sini

CIQ di Serikin perlu dibina segera: Nogeh

Advertisement

LUNDU: Pembinaan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Serikin perlu disegerakan ekoran peningkatan bilangan rakyat negara jiran memasuki Bau menerusi pekan kecil itu.

Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh berkata, dengan adanya CIQ nanti, ia juga akan mempermudah dan merancakkan perdagangan antara Kalimantan Barat dan Sarawak.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan maklum balas positif terhadap pembinaan kompleks itu dan mungkin akan dilaksanakan dalam ‘Rolling Plan’ Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar), ia akan diberi keutamaan untuk dibina, selain kompleks CIQ di Ba’ Kelalan.

“Saya memang berharap pembinaannya dapat direalisasikan dengan segera terutama dengan peningkatan rakyat negara jiran memasuki Bau menerusi Serikin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai projek mega yang bakal dilaksanakan di Parlimen Mas Gading.

Nogeh menjelaskan, kompleks CIQ tersebut akan dibina di atas tapak seluas 28.4 hektar.

“Perbincangan antara tapak sudah diselesaikan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Mengulas mengenai projek pembangunan lain di Parlimen Mas Gading, beliau berkata, tumpuan akan terus diberikan kepada kerja menaik taraf jalan raya, gereja dan balai raya.

“Ini kerana saya lihat hampir setiap kampung ada sahaja jalan yang masih belum berturap selain balai raya dan gereja yang perlu dibaiki,” jelasnya.

Terdahulu semalam, Nogeh bersama rombongan Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) melawat tapak projek bekalan air bersih di empat buah kampung di Lundu yang merangkumi Kampung Senibong, Kampung Prian, Kampung Tebaro dan Kampung Jampari.

Projek itu merangkumi penggantian paip PVC kepada ‘Polypipe’ sepanjang kira-kira 4,500 meter.

Hadir sama dua ahli majlis 1MSAC Datuk Billy Abit Jo dan Irwan Zulkarnain Hasbie serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina.

Advertisement