Anda di sini

16 kereta Proton dirampas, dua lelaki ditahan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Serdang berjaya menumpaskan ‘Gang Proton’ yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri kereta jenis Proton di sekitar Serdang, Puchong dan Petaling Jaya sejak November tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias, menerusi Ops Lejang, kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan di Puchong kelmarin.

“Hasil tangkapan kedua-dua suspek, polis menemui empat kereta Waja, sembilan Satria, dua Iswara, sebuah Putra serta satu enjin yang telah dilerai di sekitar daerah Serdang dan Petaling Jaya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dan turut positif dadah jenis ‘methamphetamine’ dan ‘amphetamine’.

Beliau berkata seorang daripada suspek merupakan mekanik dan modus operandi mereka ialah menyasarkan kenderaan yang diparkir di tepi jalan, flat dan kondominium. — Bernama

 

Advertisement