Anda di sini

Tujuh atlet SUKMA XVII Sarawak tunjuk penguasaan saingan boling

Advertisement

PEMENANG: Sulhi (berdiri enam kiri) dan Susan bersama para pemenang Pertandingan Boling Tenpin MSS Kuching 2014.

KUCHING: Tujuh atlet SUKMA XVII Sarawak menunjukkan penguasaan pada Pertandingan Boling Tenpin MSS Kuching 2014 yang berlangsung di Megalanes Adventure World, kelmarin.

Mereka yang berjaya mencetak nama selaku pemenang ialah Mohd Uzair Irsyad, Razif Safini, Melvin Gilbert Gimang dan Ryan Lanyu Reginald dalam kategori lelaki bawah 18 dan 15 tahun.

Manakala Nur Syafiqah Sajeli, Nur Aina Kamalia Ayub, Jacelyn Ng Shuh Wun dan Nur Shamimi Sazali pula mengungguli acara wanita bawah 18 dan 15 tahun.

Uzair mengutip markah tertinggi sebanyak 1,216 untuk menduduki tempat pertama dalam acara lelaki bawah 18 tahun.

Pelajar SMK DPHA Ghapor itu meninggalkan Ryan Lanyu Reginald di tempat kedua setelah berjaya membuat 1,119 jatuhan pin.

Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi Anthony Luang (1,095) dan Bryan Mackinson Bajan (1,058).

Kategori lelaki bawah 15 tahun pula menyaksikan tempat pertama dimenangi Musayyar Khalid dengan jatuhan pin sebanyak 1,198 diikuti Modd Zuhaye Redza Noor Azrul (1,195).

Atlet SUKMA Melvin Gilbert Gimang di tempat ketiga dengan 1,173 sementara Abang Afiq Yaziq tempat keempat (1,169).

Pemenang kategori lelaki bawah 12 tahun pula Mohamad Nur Syafiq (731), Surin Pubalan (578), Jardel Sean Marcel (528) dan Muhammad Harith Danial (514).

Sementara itu, Nur Syafiqah Sajeli mendominasi kategori wanita bawah 18 tahun dengan jatuhan pin sebanyak 1,206.

Pelajar SMK Batu Lintang itu meninggalkan Raylin Ng di tempat kedua dengan 1,108 diikuti Jacelyn Ng Shuh Wun (1,032) dan Dayang Suri Syafiqah (925).

Eleeza Ezzette Heran Shah pula memenangi kategori bawah 15 tahun setelah berjaya membuat jatuhan pin sebanyak 998.

Tempat kedua hingga keempat milik Nur Aina Kamalia Ayub (998), Nur Shasya Nazira (948) dan Nur Shamimi Sazali (946).

Pemenang bagi kategori bawah 12 tahun ialah Nur Hazirah Ramli (642), Nur Haziqah Ramli (632), Asya Dania Azree (602) dan Rasya Aleeya Zainuddin (575).

Seramai 89 peserta mewakili 15 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah dari Kuching menyertai kejohanan anjuran bersama Sekolah Tunku Putra dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuching.

Ia bertujuan mencari 24 pemain untuk mewakili Kuching pada Kejohanan Boling Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung di Sibu pada 22 Februari ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Dr Sulhi Lamat melahirkan rasa gembira dengan jumlah penyertaan para pelajar pada kejohanan kali ini.

Menurutnya, kejohanan serupa akan diteruskan di masa akan datang bagi menyahut dasar 1 Murid 1 Sukan kerajaan.

“Hanya melalui bersukan kita dapat melahirkan pelajar yang mempunyai peribadi cemerlang serta disiplin yang baik,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan kejohanan.

“Saya juga berharap Kuching dapat menjuarai kejohanan yang akan berlangsung di Sibu nanti.”

Pada masa sama, Sulhi turut merakamkan penghargaan kepada Sekolah Tunku Putra yang juga anak syarikat Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) kerana sudi menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.

Hadir sama Pengetua Sekolah Tunku Putra, Susan Holmes dan Pengarah Kejohanan, Azyzy Ahmad.

Advertisement