Anda di sini

Tiga PATI dipenjara dua hingga tiga bulan, sebat

Advertisement

MIRI: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga kes berasingan masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga tiga bulan dan juga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Hukuman dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan semua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Hayat Akui, 31, dari Indonesia; Rau Bim Munduk, 30, dari Holo, Filipina dan Julius Juet, 31, dari Pontianak, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, Hayat ditangkap pada jam 3.45 petang, 26 Januari lalu di kawasan tapak pembinaan Siang Siang Garden di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh berasal dari Madura, Indonesia masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Manakala Rau Bim dan Julius masing-masing ditangkap pada jam 5.10 petang, 25 Januari lalu di tapak pembinaan Lopeng dan jam 5 petang, 31 Januari lalu di tepi Jalan Tanjong Lobang di sini kerana kesalahan yang sama.

Di hadapan mahkamah, kesemua tertuduh merayu supaya dikenakan hukuman ringan serta minta dihantar pulang ke negara asal mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua bulan dan dua sebatan ke atas Hayat dan Julies, manakala Rau Bim dihukum penjara tiga bulan dan tiga sebatan.

Advertisement