Anda di sini

SPDP Tamin kecewa tiada kaunselor dalam MDLBS

Advertisement

TIDAK PUAS HATI: Engkail menunjukkan fail SPDP Bahagian Tamin yang menyelitkan nama calon kaunselornya yang tidak dipilih oleh MDLBS di Sibu, petang kelmarin.

SIBU: Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Tamin Engkail Bunyau melahirkan rasa kecewanya terhadap pelantikan ahli majlis (kaunselor) di Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kerana tidak melibatkan wakil SPDP dari bahagian tersebut.

Katanya hanya wakil SPDP dari bahagian lain seperti Dudong dan Bukit Assek yang dilantik manakala SPDP Bahagian Tamin langsung tidak dilantik menjadi ahli majlis sejak 2006.

“Kami di Selangau mahupun Tamin tidak mempunyai seorang pun wakil SPDP untuk menjadi kaunselor.

“Bagaimana kita hendak mengembangkan parti ini (SPDP) jika begini keadaannya. Disebabkan tiada wakil ini boleh menyebabkan kami tidak mempunyai suara sekali gus boleh menyebabkan parti tidak kuat.

“Mahu cari ahli baharu pun susah. Justeru, ramai kalangan ahli SPDP di bahagian kami telah menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain disebabkan rasa terkilan,” katanya kepada Utusan Borneo, petang kelmarin.

Engkail mendakwa selain kaunselor, jawatan ketua masyarakat seperti penghulu dan pemanca juga tidak pernah diberikan kepada wakil SPDP Bahagian Tamin sejak sekian lama.

“Kali terakhir semasa Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum bertukar SPDP, kami mempunyai wakil untuk dilantik menjadi penghulu serta kaunselor.

“Namun setelah ditukar kepada SPDP pada sekitar 2002, jawatan tersebut langsung tidak diberikan kepada wakil kami.

“Ini amat mengecewakan dan kami dilihat seolah-olah disisihkan dalam soal ini. Tamin adalah kubu kuat BN dan kami banyak membantu rakan-rakan komponen lain semasa pilihan raya lalu. Kami tidak seharusnya menerima nasib sebegini dan kami telah hilang sabar,” tegasnya.

Menurutnya, nama calon kaunselor bagi mewakili SPDP Bahagian Tamin di MDLBS telah dihantar oleh pihaknya namun tetap tidak terpilih.

“Kami sudah membincangkan perkara itu semasa mesyuarat agung SPDP dan kami memohon serta menghantar nama-mana calon yang layak. Tetapi kami tetap tidak terpilih.

“Kebanyakan kaunselor SPDP yang dilantik di MDLBS adalah ahli-ahli SPDP dari kawasan pembangkang.

“Ini sepatutnya tidak terjadi. Berilah peluang kepada kami dari kawasan kubu kuat BN. Sekurang-kurangnya dua ahli SPDP Bahagian Tamin dilantik menjadi kaunselor bagi memenuhi kuota,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, beliau dan ahli-ahlinya terus berdiri teguh di belakang presiden parti dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Cuma mahu MDLBS mempertimbangkan dengan sewajarnya permintaan kami iaitu memberi peluang kepada wakil SPDP Bahagian Tamin menyandang jawatan kaunselor,” tambahnya.

Advertisement