Anda di sini

Sarawak ubah strategi

Advertisement

ALBERTS

Perubahan taktikal elak lawan membaca permainan kita: Alberts

KUCHING: Sarawak bakal menampilkan taktik dan strategi yang berbeza tatkala menentang pasukan berstatus kelab, Felda United pada saingan suku akhir pertama Piala FA 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Robert Alberts berkata pasukannya sentiasa melakukan perubahan taktikal untuk memastikan pihak lawan sukar untuk membaca permainan mereka.

“Kita tidak mahu bermain dengan corak sama sahaja pada setiap perlawanan. Ini kerana kita mahukan kelainan agar lawan sukar membaca permainan kita,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, lawan yang ditentang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA malam ini bukan calang-calang pasukan kerana berjaya menyingkirkan Sime Darby FC pada pusingan kedua lalu.

“Biarpun lawan (Felda United) merupakan pasukan Liga Perdana, kita tidak memandang rendah kemampuan mereka,” ujarnya.

Menurut Alberts, magis dan lontaran emas Ronny Harun akan terus menjadi senjata utama dalam memburu jaringan.

“Ronny mempunyai kepakaran dalam lontaran jauh dan ini dibuktikan apabila tiga jaringan kita adalah menerusi bantuan lontaran jauh,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, pasukan Sarawak tetap akan berusaha gigih menjaringkan gol menerusi permainan padang dan tidak hanya mengharapkan ‘set piece’ semata-mata.

“Ini kerana ada kalanya ‘set piece’ berjaya dan ada kalanya gagal. Jadi, kita akan cuba menjaringkan gol dengan apa cara sekalipun,” kata Alberts.

Menurutnya, tiga pemain yang melibatkan pemain import, Muamer Salibasic termasuk S Chanturu dan Mohd Shahrol Saperi masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Manakala penjaga gol utama, Sani Anuar Kamsani digantung perlawanan selepas menerima kad merah pada pertemuan Piala FA dengan Selangor tempoh hari.

Bagi perlawanan Liga Super seterusnya menyaksikan Sarawak bakal menentang Perak di Stadium Negeri Kuching pada 15 Februari ini.

Sementara perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Felda United pada 18 Februari juga berlangsung di Stadium Negeri Kuching.

 

 

Advertisement