Anda di sini

Rakyat diajak beri penekanan persamaan demi perpaduan

Advertisement

TAHNIAH: Fazzrudin menyampaikan piala kepada juara kategori lelaki Pertandingan Berzikir iaitu kumpulan Muhibbah Bersatu Jalan Merdeka di Kuching, semalam.

KUCHING: Rakyat berbilang agama di negeri ini diajak sentiasa memberi penekanan kepada titik persamaan dalam nilai agama masing-masing demi perpaduan bersama.

Bukan itu sahaja, setiap rakyat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan perpaduan dari peringkat akar umbi lagi, kata Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya kita hanya akan dapat mencapai persefahaman apabila wujudnya titik persamaan dan melalui perbincangan dan kata sepakat.

“Untuk itu, kita perlu memastikan perpaduan ini bermula dari peringkat akar umbi lagi iaitu dari peringkat kampung.

“Apabila perpaduan sudah wujud dari situ baharulah ia dapat disebarkan ke peringkat lebih tinggi lagi hingga ke bandar, negeri dan negara ini secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Berzanji dan Zikir Marhaban di Kompleks Islam Sarawak di sini, kelmarin.

Tambahnya, setiap keputusan atau perkara yang dibuat dan dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk rakyat.

“Setiap keputusan yang dilaksanakan dan dicapai hendaklah melalui titik persamaan dengan mengambil kira semua aspek.

“Yakinlah bahawa kerajaan memikirkan sesuatu perkara itu dengan lebih besar lagi dan untuk jangka panjang.

“Mungkin sesuatu keputusan atau perkara tersebut tidak nampak pada masa ini tetapi yakinlah bahawa ia untuk jangka panjang dan untuk anak dan cucu kita nanti,” jelasnya.

Justeru, beliau mahu rakyat negeri ini sentiasa mengekalkan perpaduan dan tidak sesekali mensia-siakan usaha pemimpin terdahulu yang berusaha membentuk negara ini.

Menyentuh mengenai pertandingan tersebut, Fazzrudin memuji usaha pihak penganjur menganjurkan program dan pertandingan keagamaan seperti berzikir dan marhaban itu.

“Pertandingan ini dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam berzikir dan marhaban terutamanya dalam kalangan belia dan beliawanis di bandar raya ini.

“Malah, lokasi program di Kompleks Islam Sarawak di sini sendiri sungguh sesuai untuk memperkenalkannya kepada orang ramai yang tidak pernah mendengar atau melihat sendiri acara ini,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau berharap pertandingan keagamaan seperti itu dapat dianjurkan lebih kerap lagi di Kompleks Islam Sarawak untuk mengetengahkannya kepada masyarakat umum.

“Tahniah kepada pihak penganjur. Juga diharapkan, program anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk membangunkan kaum Melayu di negeri ini,” ujarnya.

Advertisement