Anda di sini

PRK Balingian mungkin diadakan

Advertisement

SERAH SUMBANGAN: Wan Junaidi ketika menyampaikan angpau kepada warga emas dan OKU sempena Majlis Makan Malam TBC di Dewan Kampung Buntal malam kelmarin.

Tiada perubahan yang besar dijangka dalam sistem politik Sarawak

KUCHING: Keputusan peng-unduran Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri memungkinkan Pili-han Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan diadakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peletakan jawatan Taib sebagai Ketua Menteri hanya akan melibatkan satu kerusi sahaja selain menyifatkan pengunduran itu tidak memberi perubahan yang besar kepada sistem politik negeri.

“Pada dasarnya, Barisan Nasional (BN) negeri menghormati keputusan Pehin Sri untuk meletak jawatan dalam masa terdekat ini dan pada saya, ia tidak melibatkan banyak perubahan mendadak kepada sistem politik negeri sedia ada.

“Selain itu, pada pandangan saya peletakan jawatan itu hanya akan melibatkan satu kerusi sahaja dan mengikut Perlembagaan, pilihan raya boleh diadakan kerana kerusi itu telah dipegang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2011,” katanya.

Menurutnya, Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi mandat kepada Taib untuk melantik pengganti.

“PBB akan sentiasa menjadi tulang belakang kepada BN negeri selain mendapat sokongan daripada semua komponen BN iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang menyokong sesiapa sahaja calon pengganti Pehin Sri yang dipersetujui PBB kelak.

“Justeru, dengan keadaan sedemikian, saya cukup yakin bahawa pengganti Pehin Sri kelak akan mendapat sokongan penuh dari PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Tahun Baharu Cina (TBC) DUN Pantai Damai di Dewan Kampung Buntal, dekat sini, malam kelmarin.

Majlis makan malam itu diadakan bertujuan malam penghargaan sambutan perayaan TBC 2014.

Pada masa sama, Wan Junaidi turut menyerahkan wang sumbangan kepada 61 penerima dari golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas kampung itu.

Sambutan makan malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian daripada pelajak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Buntal dan tarian singa yang menjadi simbolik perayaan masyarakat cina.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Cina Bandar Baru Samariang (BBS) Robert Lee.

Advertisement