Anda di sini

Penduduk luar bandar masih perlukan perhatian kerajaan

Advertisement

PENGHARGAAN: Umbek (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Francis (tiga kiri) sambil diperhatikan Richard (kanan), Nelson (dua kiri) dan Sawing pada program itu.

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berharap penduduk di kawasan luar bandar tidak menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil bantuan pembangkang.

Katanya, penduduk di kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian kerajaan bagi melaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apabila penduduk luar bandar dengan kerjasama pembangkang menentang BN maka secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha pembangunan yang bakal dilaksanakan kerajaan untuk mereka,” katanya pada Program Gotong-Royong anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Umbek Achat, Kampung Dayak Baru Kejatau di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata penduduk luar bandar harus bersama BN memastikan kelancaran projek pembangunan di kawasan masing-masing demi meningkatkan taraf hidup.

“Pembangkang hanya bercakap tetapi tidak banyak membantu membangunkan penduduk di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segala aspek pembangunan.

“Kemampuan mereka tidak seperti BN berusaha keras menaik taraf penduduk secara sistematik dan berperingkat-peringkat di bandar dan luar bandar negeri ini,” katanya.

Justeru, Harden mahu penduduk di sini terus setia di belakang BN memandangkan hanya kerana mereka sahaja yang mempunyai kemampuan untuk menaik taraf hidup masing-masing.

Hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Walikota MDSA Richard Tawan Sedu, Timbalan Pengerusi MDSA Kaunselor Sawing Sumar, Setiausaha MDSA, Nelson Mujah Girie dan Kapitan Kuek Aik Seng.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Umbek manakala RM2,000 kepada Biro Wanita.

Advertisement