Anda di sini

Pendaki perlu patuhi peraturan dan arahan

Advertisement

KOTA KINABALU: Semua pendaki diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam menjalankan aktiviti pendakian gunung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah berkenaan bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, selalunya kemalangan yang berlaku semasa pendakian adalah berpunca dari pendaki sendiri.

Beliau berkata, di negeri ini, pihak Taman-Taman Sabah menyediakan khidmat malim gunung yang terlatih untuk memandu perjalanan setiap pendaki.

“Saya tidak merujuk kepada kes yang berlaku kelmarin (Isnin), tetapi kebanyakan kes yang terjadi sebelum ini memang berpunca dari pendaki sendiri.

“Ada yang tidak mematuhi arahan dengan bertindak meninggalkan ahli kumpulan lain hingga mengakibatkan berlakunya kemalangan,” katanya di sini kelmarin.

Masidi berkata demikian kepada media bagi mengulas kejadian pelancong wanita Jerman yang maut selepas terjatuh dari kawasan puncak Gunung Kinabalu awal pagi Isnin lepas.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan takziah terutamanya kepada ahli keluarga mangsa atas kejadian itu dan amat dikesali ia berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, Masidi menasihatkan orang ramai terutamanya pihak media supaya lebih berhati-hati dalam menyiarkan sebarang gambar berkaitan keadaan mayat mangsa.

“Gambar yang menunjukkan keseluruhan badan mangsa tidak sepatutnya disiarkan kerana ia pastinya menyentuh sensitiviti ahli keluarga mangsa.

“Kita masih menunggu laporan penuh dari polis dan Taman-Taman Sabah dan tidak sesuai untuk membuat sebarang kesimpulan buat masa ini,” katanya.

Isnin lepas, seorang pelancong Jerman, Victoria Paulsen, 22, terbunuh selepas terjatuh kira-kira 30 meter dari kawasan Low’s Pea’ iaitu puncak tertinggi Gunung Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dilaporkan terjatuh ketika mengambil gambar pada ketinggian 4095.2 meter atas paras laut.

Advertisement