Anda di sini

Memupuk toleransi, perpaduan adalah pelaburan

Advertisement

GUNAKAN SEBAIKNYA: Shafie (lima kanan) menyerahkan bantuan kepada salah seorang murid pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar Sekolah Menengah dan Rendah Parlimen Kapit, semalam.

Semangat pelihara, menjamin keamanan negara perlu diterapkan dari peringkat sekolah, kata Shafie

KAPIT: Memupuk semangat toleransi dan perpaduan di kalangan pelajar sekolah adalah satu bentuk pelaburan negara pada masa hadapan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini penting untuk menjamin kemakmuran dan perpaduan kalangan pelbagai kaum di negara ini.

“Menjamin negara ini untuk terus aman, makmur dan maju pada masa akan datang bukan sahaja tertumpu kepada soal pendidikan, malah kita harus terapkan semangat perpaduan ini di peringkat sekolah supaya para pelajar kita sedar dengan hanya ada semangat sedemikian keamanan dan perpaduan akan terjamin.

“Pendidikan sahaja tidak cukup tanpa ada penerapan serta didikan di kalangan pelajar kita tentang sifat-sifat murni itu untuk memastikan negara kita terus aman dan harmoni.

“Apa guna jika ada pendidikan sahaja tanpa ada hubungan baik di kalangan rakyat dan negara yang kacau-bilau disebabkan ketiadaan toleransi di kalangan rakyatnya?” kata beliau pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar Sekolah Menengah dan Rendah Parlimen Kapit di Dewan Suarah Kapit, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Rahim Abu Bakar, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA Datuk Yussoff Dohab, Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong, dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabong Ijang dan Jefferson Jamit Unyat serta Residen Bahagian Kapit, Frederick John.

Seramai 600 pelajar sekolah di Kapit dan 400 dari Song di bawah Parlimen Kapit menerima bantuan berupa beg dan peralatan sekolah serta RM100 setiap seorang.

Bantuan tersebut adalah sumbangan Yayasan Pelajaran MARA.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, bagi memastikan keamanan negara ini berterusan rakyat harus bersatu padu dan menolak segala isu-isu sensitif yang berkaitan dengan agama.

“Negara ini memerlukan kita bersama-sama bersatu memajukan dan membangunnya bersama. Ini adalah negara kita sendiri dan rakyat mempunyai tanggungjawab yang sama berganding bahu membentuk permuafakatan bagi memastikan proses pembangunan dapat dilaksanakan tanpa terbatas,” tegasnya.

Beliau menjelaskan kerajaan yang kukuh memerlukan permuafakatan di kalangan rakyat.

“Kita kongsi apa yang ada di negara kita ini. Permuafakatan pelbagai kaum sangat penting dalam proses pembangunan negara pada masa akan datang.

“Hanya sikap muafakat dan toleransi di kalangan rakyat akan membentuk negara ini bertambah maju dan kestabilan kerajaannya,” jelasnya.

Sementara itu, Shafie mengingatkan rakyat supaya tidak mendengar cakap-cakap kosong pembangkang yang hanya menghasut rakyat.

“Nilailah apa yang kerajaan usahakan dan bukannya menilai perbuatan dan hujah-hujah pembangkang sahaja. Kerajaan banyak berusaha membangunkan kawasan luar bandar khususnya di Kapit.

“Ini dapat dilihat menerusi pembinaan jalan raya iaitu Jalan Kapit-Song-Kanowit. Itulah tanda kerajaan mahu membantu membangunkan rakyat menerusi jalan raya,” katanya.

Menyentuh mengenai kementeriannnya, Shafie berkata, kementeriannya banyak berusaha memberikan peruntukan kepada Sarawak dan Sabah menerusi bajet pembangunan dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Menurutnya, kementeriannya juga turut mempunyai perancangan yang rapi untuk meningkatkan kemudahan insfrastruktur di kawasan luar bandar.

“Kita bukan sahaja komited dalam membangunkan kawasan bandar tetapi juga mempunyai perancangan rapi dari segi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Jika maju dalam pembangunan insfrastruktur sahaja tidak cukup. Justeru, kita harus mempunyai cara meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Advertisement