Anda di sini

KM baharu mesti berkebolehan lihat, galas isu secara bijaksana

Advertisement

KUCHING: Sesiapa sahaja yang mengambil alih tugas Ketua Menteri selepas ini mestilah daripada kalangan individu yang mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk melihat dan menggalas isu-isu dengan penuh bijaksana, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Justeru, katanya perkiraan dalam penentuan bakal pengganti haruslah merangkumi keupayaan untuk memastikan kelangsungan agenda permuafakatan dan keharmonian antara parti komponen selain berupaya mengemudi parti dalam menghadapi tekanan dan cabaran daripada pelbagai pihak lebih-lebih lagi pihak pembangkang.

“Jika pengganti Ketua Menteri gagal memastikan kelestarian permuafakatan dan memperkukuhkan kesatuan sesama mereka, ada kemungkinan berlaku ledakan yang kurang menyenangkan.

“Ini amat penting untuk diberikan tumpuan kerana sekiranya tersalah langkah atau terlepas pandang ia akan mengundang mudarat yang boleh menjadi parah,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin bagi mengulas persaraan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelas Mohd Fadzil, apa yang berlaku dalam arena politik tanah air sejak akhir-akhir ini terutama yang melibatkan isu perkauman di Semenanjung Malaysia tidak harus dipandang remeh oleh siapa juga bakal pengganti Ketua Menteri nanti.

“Adalah tidak mustahil jika isu berkenaan tidak ditangani dengan baik, ia boleh menular dengan lebih hebat bukan sahaja antara parti namun di kalangan ahli parti sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai sumbangan Taib terhadap pembangunan Sarawak, Mohd Fadzil mengakui banyak kemajuan telah dicapai baik daripada aspek infrastruktur, pembangunan fizikal mahupun daripada aspek membawa masuk pelaburan asing.

“Inisiatif SCORE yang diperkenal akan memperkukuhkan lagi Sarawak sebagai antara pemain utama dalam industri yang melibatkan tenaga diperbaharui seiring dengan sumber asli yang terdapat di Sarawak.

“Agenda biodiversiti dan kekayaan flora dan fauna juga telah berjaya ditonjolkan dan diperkasa, menjadikan Sarawak terkenal di dunia,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan dan keutamaan mendalam terhadap aspek pendidikan turut jelas kelihatan di bawah pentadbiran Taib melalui pelbagai inisiatif termasuk penubuhan gedung ilmu sama ada dari dalam mahu luar negara seperti UNIMAS, IPTAR, Curtin, Swinburne dan sebagainya.

Advertisement