Anda di sini

Kempen anti minyak sawit tidak berhasil

Advertisement

KUCHING: Kempen anti minyak sawit yang terus dibangkitkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di Eropah tidak akan mampu mempengaruhi eksport minyak sawit Malaysia yang semakin meningkat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan ini adalah disebabkan usaha berterusan dan progresif dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya kementerian dan jabatan berkaitan bagi menanggani tuduhan itu.

Selain itu, jelasnya, pencapaian kepada siri kempen melalui pakatan strategik dengan pemproses minyak sawit dan pengeluar makanan terus dilaksanakan bagi menangani maklumat salah terhadap minyak sawit.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita telah mendapat sokongan daripada pengeluar produk terkenal dunia dari Perancis iaitu kumpulan Ferrero yang memiliki jenama Nutella yang menyokong penggunaan minyak sawit sebagai bahan utama dalam pembuatan produknya.

“Bukan itu sahaja, kita menyaksikan mereka menyokong dan mempertahankan minyak sawit Malaysia secara terbuka dan berani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa ‘Reach & Remind Friends of the Industry Seminar 2014 and Dialogue: Challenges and Opportunities in 2014’ di sini, semalam.

Hadir merasmikan seminar tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Terdahulu, Uggah menjelaskan, nilai eksport keseluruhan minyak sawit dan produk minyak sawit dicatatkan pada tahun lalu menurun sebanyak 14.15 peratus iaitu RM61.29 bilion berbanding RM71.4 bilion pada tahun 2012.

Namun begitu, jumlah eksport yang dicatatkan dari Januari hingga Disember 2013 meningkat daripada 24.59 juta tan pada tahun 2012 kepada 25.66 juta tan (2013).

Katanya, penurunan tersebut disebabkan oleh purata harga bulanan minyak sawit mentah (CPO) yang lebih rendah pada Julai 2013 sebanyak RM2,289 dan kemudian aliran lebih tinggi pada bulan Disember dengan purata RM2,618.

“Simpanan CPO yang direkodkan pada Disember 2013 adalah sebanyak 1.98 juta tan berbanding tinggi sepanjang masa sebanyak 2.63 juta tan metrik yang dicatatkan pada Disember 2012.

“Oleh itu, saya berharap untuk melihat harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi sepanjang tahun 2014 akan meningkat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan mengenai minyak kacang soya terus mengekalkan premium yang sihat atas minyak kelapa sawit.

Justeru, beliau mencadangkan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk mewujudkan pemikir bagi menangani isu ini dan menjadikan minyak sawit yang lebih menguntungkan.

“Sebagai sebahagian daripada alat pengurusan harga, kami juga meletakkan penekanan yang ketara kepada peningkatan penggunaan bahan bakar biosawit di negara ini,” jelasnya.

Advertisement