Anda di sini

Jumlah pendaki mungkin dihadkan

Advertisement

Berikutan insiden pelancong wanita warga Jerman maut terjatuh dari puncak

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan melihat keperluan untuk menghadkan jumlah pendaki di Gunung Kinabalu berikutan insiden kematian seorang pelancong wanita warga Jerman, pada Isnin lalu.

Menterinya Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jika ada keperluan untuk menghadkan jumlah pendaki ke Gunung Kinabalu, kementerian akan melihat perkara itu.

“Kita akan melihat perkara itu tetapi jika ini adalah masalahnya, sudah pasti insiden sebegini sudah berlaku sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kementerian itu menghadkan jumlah pendaki di Gunung Kinabalu semasa musim kemuncak.

Berikutan insiden itu, Masidi menasihatkan semua pendaki agar sentiasa mengikut nasihat dan arahan yang diberi oleh malim gunung.

Ketika ditanya mengenai keperluan meningkatkan aspek keselamatan semasa mendaki Gunung Kinabalu, Masidi berkata, isu keselamatan bukan isunya kerana semua pendaki sudah dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan.

“Ini adalah insiden pertama dalam sejarah seorang pendaki jatuh dari puncak Gunung Kinabalu. Jika dikatakan isu keselamatan jadi masalah, sepatutnya sudah ramai yang jatuh. Tetapi ini adalah kali pertama ia berlaku,” katanya.

Katanya, bukan beliau ingin menyalahkan sesiapa kerana ini adalah masa untuk berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa yang kehilangan anggota keluarga.

“Saya tidak senang hati dengan insiden yang berlaku kerana Sabah dikenali sebagai masyarakat yang baik dan bertolak ansur.

“Insiden ini memberi titik hitam kepada imej Sabah,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Buku ITIN: A Borneon Elephant, di sini kelmarin.

Ditanya mengenai perkembangan terkini insiden berkenaan, Masidi berkata, setakat ini daripada sumber yang belum disahkan, siasatan awal mendapati mangsa keluar daripada kawasan selamat yang digunakan pendaki.

“Mangsa dikatakan duduk di atas seketul batu besar untuk mengambil gambar yang cantik semasa matahari terbit. Malangnya batu itu longgar dan dia terjatuh bersama batu itu,” katanya.

Ditanya jika beliau akan memberi arahan untuk mengalihkan batu-batu longgar yang terdapat di puncak gunung, Masidi berkata, biarkan polis dan Taman-Taman Sabah menyiasat kes itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Kita tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa insiden itu berlaku disebabkan batu longgar. Jika dialihkan batu-batu yang longgar itu, ia tidak patut kerana ini gunung dan risiko itu memang ada,” katanya.

Menurut sumber, difahamkan proses penghantaran mayat mangsa ke Hospital Queen Elizebath 1 dilakukan kira-kira jam 1 petang kelmarin bagi tindakan lanjut.

Advertisement