Anda di sini

Ilmu penting untuk tadbir kawasan

Advertisement

GERAN KERAJAAN: Penerima geran kerajaan bergambar bersama dengan Mong (berdiri enam kiri), Whelthon (empat kiri), Sharifah Ranimah (tiga kiri) serta ketua-ketua jabatan dan tuai rumah yang lain selepas berakhirnya program berkenaan kelmarin.

Pemimpin masyarakat perlu tingkat mutu dan kualiti hidup masyarakat

SRI AMAN: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi harus mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang sebagai pegangan asas untuk mereka mentadbir urus kawasan masing-masing.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Mong Dagang berkata, pemimpin akar umbi berpengetahuan akan dapat bersaing untuk meningkat mutu serta kualiti kehidupan masyarakat yang ditadbir oleh mereka.

“Mereka yang telah dipilih sebagai tuai rumah atau pemimpin masyarakat perlu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, tanggungjawab, jujur serta amanah agar setiap agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik untuk kepentingan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Baha  Biran, Kampung Luchong, Sri Aman di sini kelmarin.

Mong yang juga ADUN Bukit Begunan berkata, para pemimpin masyarakat juga perlu bekerjasama dengan rakyat serta berkongsi setiap masalah dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik agar ia tidak menjejaskan ketenteraman dan keharmonian yang telah wujud.

“Dengan kata lain, mereka perlu peka dengan setiap masalah yang timbul dan jangan sesekali menyembunyikan masalah berkenaan dari pengetahuan rakyat.

“Ini kerana jika masalah tidak diselesaikan, maka pastinya impak negatif akan berlaku dan mengundangkan masalah berlanjutan yang akan membebankan diri sendiri dan rakyat,” tegasnya.

Selain itu, katanya, setiap pemimpin masyarakat digalakkan untuk menjalinkan hubungan rapat dengan pelbagai agensi kerajaan supaya setiap masalah yang timbul dapat diselesaikan. Menurutnya lagi, mereka juga perlu memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dengan bijak untuk kebaikan rakyat.

“Tuai Rumah dan pemimpin masyarakat perlu mengikis sikap malu untuk berdepan dengan agensi kerajaan ini dan jangan sesekali mendiamkan masalah supaya agensi kerajaan dapat membantu mereka untuk menyelesaikannya.

“Setiap agensi kerajaan yang diwujudkan adalah sebagai agensi pemudah cara untuk rakyat. Justeru, tuai rumah dan pemimpin masyarakat perlu faham dan menggunakan khidmat serta bantuan yang disalurkan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada masa sama, Mong mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sri Aman kerana membantu beliau untuk membersihkan sistem perparitan di kawasan Tanjung Bijat melibatkan kawasan Taba hingga Kampung Melayu Baru baru-baru ini memandangkan kawasan berkenaan telah dilanda banjir teruk pada penghujung tahun lepas.

Beliau juga amat berharap agar agensi-agensi kerajaan sentiasa turun padang dan membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat terutamanya melibatkan isu-isu pembangunan.

Pada majlis berkenaan, Mong menyerahkan bantuan bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Baha Biran dan RM5,000 kepada Biro Wanita rumah berkenaan, manakala RM3,000 kepada JKKK Rumah Lungkong Awek, Lunchong.

Beliau turut menyampaikan cek projek kecil luar bandar (MRP) bagi tahun 2014 bernilai RM50,000 kepada beberapa buah JKKK dan Biro Wanita setempat.

Terdahulu, program berkenaan juga menampilkan ceramah kenegaraan yang telah disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman Salleh Immun.

Hadir sama Pegawai Jabatan Hal Ehal Khas (JASA) Sarawak Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Wakil Pegawai Penerangan Sri Aman Juing Ullie, wakil JPS Abdul Hafizd Abdullah, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Setiausaha Sulit Datuk Mong Howard Tambom serta yang lain.

Advertisement