Anda di sini

Empat buruh warga asing dipenjara lima hari, sebulan

Advertisement

MIRI: Mahkamah Sesyen, di sini semalam menjatuhi hukuman penjara antara lima hari hingga sebulan ke atas empat buruh warga asing dalam empat kes berasingan kerana kesalahan tinggal di negeri ini selepas luput tarikh sah pas lawatan yang dikeluarkan kepada mereka.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang ke negara asal mereka sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Ismail Kono, 31, dari Sungai Raya, Indonesia; Rusli, 31, dari Jawa Barat, Indonesia; Mustakim, 21, dari Jawa Timur, Indonesia dan Misjan, 29, dari Kalimantan, Indonesia masing-masing menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, Ismail dan Rusli masing-masing ditangkap pada jam 3.55 petang, 30 Januari lalu di sebuah rumah kongsi di Taman Jelita dan jam 11.55 malam, 3 Februari lalu di tingkat bawah sebuah premis di Desa Indah 3 Permyjaya di sini.

Manakala Mustakim dan Misjan ditangkap masing-masing pada jam 4.40 dan 4.35 petang di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan perumahan Desa Viena, Jalan Bakam di sini.

Tangkapan ke atas mereka dibuat kerana didapati warga asing dan masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepada mereka tamat tempoh sah.

Bagi kesalahan itu, Ismail dan Misjan dikenakan hukuman penjara sebulan. Manakala Rusli dan Mustakim masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima hari dan tiga minggu.

Advertisement