Anda di sini

100 soalan dari rakyat untuk DUN Kelantan

Advertisement

PERSOALAN: Nozula (kanan) menerima 100 soalan rakyat daripada Pengerusi Barisan Darul Naim (BADAR) Kamarudin Kasim (kiri) di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Barisan Darul Naim (Badar) semalam menyerahkan 100 soalan kepada Barisan Nasional (BN) untuk dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang selama tiga hari mulai 4 Mac ini.

Ia diserahkan oleh Pengerusi Badar, Kamarudin Mohd Kasim kepada ketua pembangkang di DUN, Datuk Nozula Mat Diah di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini.

Kamarudin berkata soalan itu diperoleh daripada pelbagai lapisan rakyat seperti kakitangan kerajaan, NGO, mahasiswa, usahawan kecil dan belia.

“100 soalan rakyat Kelantan ini meliputi segenap permasalahan dan isu semasa yang membelenggu rakyat Kelantan seperti pembalakan, lebuh raya rakyat, stadium di Bukit Merbau, air dan Taman Negara Kuala Koh,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu menjawab semua soalan itu sama ada secara lisan atau bertulis semasa persidangan yang jika tidak, pihaknya akan berhimpun semasa persidangan DUN dan menuntut semua soalan itu dijawab.

Nozula yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh berkata soalan itu akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri semalam.

“Kita tidak mahu soalan rakyat ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana rakyat dahagakan penerangan setiap isu yang dibangkitkan.

“Semua jawapan secara bertulis nanti akan kami edarkan kepada media untuk dijelaskan kepada rakyat selepas ini,” katanya. — Bernama

Advertisement