Anda di sini

Taib pemimpin berwawasan dan tiada tandingan: Wong

Advertisement

WONG SOON KOH

Taib dapat merancang setapak ke hadapan selain berupaya melihat dan menjangka apa yang bakal tiba

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh menyifatkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan tiada tandingan.

Malah menurut Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Taib dapat merancang setapak ke depan berbanding individu lain selain berupaya melihat dan menjangka apa yang bakal tiba.

“Saya beri anda contoh, anda tahu saya menguruskan kewangan bersama beliau. Ketika saat kegemilangan industri perkayuan beliau dapat melihat bahawa Sarawak tidak boleh bergantung kepada industri ini bagi tempoh yang panjang.

“Atas sebab itu beliau segera membuka tanah untuk perladangan kelapa sawit pada skala yang besar.

“Malah beliau turut dapat melihat bahawa Sarawak perlu bergerak ke depan kepada peringkat pembangunan yang seterusnya bagi membolehkan Sarawak mencapai status negeri  berpendapatan tinggi.

“Sebab itu wujudnya projek Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE), di mana kita cuba menarik kemasukan pelaburan menerusi sumber-sumber tenaga yang diperbaharui bagi industri-industri berat dan sebagainya,” ujarnya.

Wong yang juga setiausaha SUPP Cawangan Sibu dan ADUN Bawang Assan berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.

Ditanya sama ada peralihan kuasa oleh Pehin Sri Taib kepada Ketua Menteri yang baharu akan memberi impak kepada Sarawak, Wong berkata perkara seperti itu tidak akan berlaku kerana Taib telah mewujudkan budaya politik dalam BN dengan kepimpinan bersama.

“Saya percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pucuk pimpinan, beliau akan mengekalkan polisi yang sama diamalkan oleh Taib dan semua kami perlu bekerja dengan asas yang baik dan bergerak ke depan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Wong turut menyifatkan Taib telah mengetahui bahawa kesejahteraan rakyat negeri ini tidak hanya bergantung kepada materialistik.

Atas sebab itu beliau telah memastikan keharmonian kaum, agama dan budaya dipertahankan sehingga menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh dalam Malaysia.

Malah sepanjang tempoh 33 tahun pemerintahan beliau, Sarawak telah membangun tidak hanya dari segi fizikal malah juga ekonomi dan membawa Sarawak kepada seperti yang dikecapi kini.

Advertisement