Anda di sini

Taib letak asas kukuh jadikan Sarawak sebagai negeri maju

Advertisement

JADI TUMPUAN: Fadillah ketika ditemu bual wakil media selepas menghadiri mesyuarat BN Sarawak, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah meletakkan asas yang sangat kukuh untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof berkata asas kukuh itu merupakan perjuangan Taib selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri bagi memastikan generasi muda masa kini dapat hidup dengan lebih selesa pada masa akan datang.

“Saya selaku Ketua Pemuda PBB amat menghargai segala perjuangan dan apa yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri yang juga presiden parti untuk generasi masa kini.

“Beliau telah meletakkan asas yang sangat kukuh terutama dari segi pembangunan fizikal, sumber manusia dan lebih penting perjuangan itu telah memberi nilai tidak terhingga kepada generasi muda khususnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Barisan Nasional (BN) Negeri semalam.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata  usaha Taib memastikan jalinan kerjasama erat, semangat tolong menolong antara semua kaum khususnya dalam PBB selama ini harus diteruskan oleh generasi hari ini selepas persaraan beliau nanti.

“Itulah rahsia kejayaan beliau dan kita berasa amat sedih tetapi pada masa sama menghormati pendiriannya yang sudah lama dirancang… beliau cuba mengundur diri sebelum ini tetapi dipujuk banyak kali oleh kami.

“Namun beliau berasakan akhirnya sampai sudah titik noktah di mana beliau merasakan sudah tiba masanya untuk menyerahkan teraju kepimpinan kepada pemimpin baharu dan kita mengucapkan berbanyak terima kasih atas perjuangan beliau selama ini,” ujarnya.

Mengenai pengganti Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu Fadillah berkata  untuk mendapatkan pemimpin yang setanding Taib, adalah amat payah.

Bagaimanapun ujarnya, PBB merupakan satu pasukan yang telah dilatih serta dibentuk oleh Taib yang diyakini dapat merealisasikan visi serta misi pembangunannya.

“Namun sudah tentu pemimpin yang baharu nanti mesti dapat mengekalkan semangat kerja berpasukan, hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan latar belakang dan paling mustahak memastikan kita dapat mengekalkan perpaduan serta kerjasama erat antara komponen BN,” katanya.

Pada masa sama beliau mengakui BN bakal berdepan cabaran hebat terutama membantu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyelesaikan masalahnya.

Selain itu katanya, BN perlu memperkukuhkan lagi kedudukannya serta memahami inspirasi generasi muda, juga cara melibatkan golongan itu dalam pembangunan negeri dan negara.

“Jadi pada akhirnya dalam kepercayaan semangat perjuangan BN dan sebagai komponen BN, perkara ini harus dilakukan untuk rakyat,” ujarnya.

Advertisement