Anda di sini

Taib layak dilabel ‘Bapa Transformasi Sarawak’

Advertisement

Beliau telah banyak membawa kemajuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud layak dilabel sebagai ‘Bapa Transformasi Sarawak’ kerana telah banyak membawa kemajuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

Beliau yang mengesahkan akan bersara dalam tempoh terdekat, menjadi Ketua Menteri sejak 1981.

Menurut seorang kakitangan kerajaan Mokhtar Tani, 31, pengunduran Taib sebagai Ketua Menteri disifatkan keputusan yang wajar dihormati.

“Tidak saya nafikan sepanjang pemerintahan Taib, telah banyak pembangunan dapat kita rasa dan saksikan di negeri ini.

“Mungkin sudah tiba masanya beliau berehat dan menyerahkan tanggungjawab besar itu kepada pemimpin lain,” katanya kepada  Utusan Borneo, semalam.

Apabila Taib tidak lagi menjadi Ketua Menteri kelak, beliau diharap tidak akan berhenti menyokong kepimpinan baharu itu nanti.

“Sebagai rakyat yang sentiasa menyokong beliau, saya amat berharap beliau tidak berundur terus sebaliknya terus memberi sokongan padu kepada jentera kepimpinan pentadbiran negeri yang baharu kelak,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Saferi Wasli, 36, pula memberitahu bahawa pengunduran Taib sebagai pemimpin negeri memberi sedikit kebimbangan kepadanya memandangkan dia kurang yakin dengan warna pemerintahan pemimpin baharu yang akan menggantikan Taib kelak.

“Tidak kira siapa juga yang akan menggantikan Taib selepas pengundurannya sebagai Ketua Menteri, saya tetap berasa sedikit gusar dengan pucuk kepimpinan yang baharu.

“Kita sudah membiasakan diri dengan kesenangan serta keselesaan ketika pemerintahan Taib, justeru, penukaran pemimpin memberi sedikit tekanan kepada rakyat yang semestinya akan meragui kebolehan pemimpin baharu itu nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar Taib akan sentiasa menyokong barisan kepimpinan yang baharu kelak di samping menjadi penasihat yang telah banyak pengalaman dalam mengurus tadbir negeri Sarawak.

Rezeni Salleh, 50, mengakui jasa serta sumbangan yang pernah disumbangkan Taib sepanjang 33 tahun pemerintahannya telah banyak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

“Sumbangan serta jasa beliau selama ini tidak mudah rakyat lupakan memandangkan beliau telah banyak menyumbang terutama dari segi peningkatan taraf hidup.

“Walaupun agak bimbang dengan calon yang akan menggantikannya, namun kami sebagai rakyat hanya dapat berdoa agar pemimpin baharu itu kelak dapat memimpin negeri ini dengan telus dan ikhlas,” katanya.

Advertisement