Anda di sini

SUPP bersedia bekerja sama dengan Ketua Menteri baharu, kata Peter Chin

Advertisement

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedia bekerja sama dengan Ketua Menteri baharu bagi memastikan pembangunan berterusan Sarawak serta kebajikan rakyat negeri ini kekal terpelihara.

Presidennya Tan Sri Peter Chin juga berkata sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), SUPP menghormati keputusan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk bersara sebagai Ketua Menteri.

“Sebagai parti komponen, SUPP menyokong sesiapa sahaja menjadi Ketua Menteri yang baharu sebab beliau akan menjadi pengerusi BN Negeri.

“Jadi SUPP kena bekerja sama dengan Ketua Menteri baharu nanti.

“Ini satu kepastian dan jaminan bahawa SUPP memang akan memberi sokongan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat BN Negeri yang dipengerusikan Taib selaku pengerusi BN Negeri.

Chin menambah, persaraan Taib pastinya membangkitkan pelbagai reaksi kerana kesan serta akibat yang mungkin berlaku di Sarawak dan BN.

Bagaimanapun keputusan untuk Taib bersara katanya mesti dihormati kerana perkara itu telah dinyatakan beberapa bulan lalu dan dalam mesyuarat semalam beliau mengumumkan bakal bersara pada penghujung Februari ini.

“Sebagai ahli politik, kita perlu bersara apabila sudah tiba masanya dan Taib telah menyatakan mengenai perkara ini beberapa bulan lalu dan hari ini (semalam) beliau mengesahkan pengundurannya.

“Sama seperti saya, telah pun memaklumkan persaraan daripada terlibat aktif dalam politik sebagai Ahli Parlimen dan sudah tentu Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) tidak jauh bezanya, begitu juga Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Kita amat menghormati keputusannya itu,” tambahnya.

Mengenai mesyuarat yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, Chin berkata selain pengumuman mengenai persaraan Taib turut disebut ialah tiga nama bakal pengganti yang bakal menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Tiga nama itu ialah Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu),  Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg (Timbalan Presiden PBB) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Naib Presiden Kanan PBB) .

Bagaimanapun ujarnya, pengganti Taib belum dapat diumumkan kerana pelantikan Ketua Menteri baharu harus dilakukan mengikut prosedur yakni mendapat kelulusan daripada Yang di-Pertua Negeri.

“Buat masa ini tiada pengganti Taib diumumkan, kerana pelantikannya perlu mengikut prosedur seperti termaktub dalam perlembagaan iaitu pelantikan harus dipersetujui TYT.

“Yang pasti, salah seorang daripada tiga nama ini akan dilantik (sebagai Ketua Menteri baharu kelak),” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat itu turut membincangkan kemelut dalaman dihadapi SUPP ketika ini, Chin dengan ringkas berkata: “Tidak ada.”

Taib yang juga presiden PBB mengumumkan persarannya secara rasmi kelmarin dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) parti itu dan beliau turut diberi sepenuhnya untuk memilih Ketua Menteri baharu bagi menggantikannya.

Bagaimanapun Taib memberitahu beliau akan membuat pengumuman hari ini (Isnin).

Hadir sama pada mesyuarat itu Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James  Masing, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Abang Johari serta Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Advertisement