Anda di sini

Sekolah digalakkan anjur sukan di peringkat awal

Advertisement

SEDIA: Lee (empat kiri) melepaskan para peserta yang mengambil bahagian dalam acara Jogaton Amal SK Kampung Luak sambil disaksikan Norsarihan (kiri).

MIRI: Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin menggalakkan sekolah-sekolah menganjurkan aktiviti sukan sama ada dari peringkat sekolah rendah mahupun pendidikan awal.

Ini kerana menurut Lee, penganjuran seumpama itu adalah langkah awal bagi mendedahkan dan mendidik generasi muda tentang gaya hidup sihat dan melakukan senaman sebagai satu rutin harian bagi mengekalkan  kesihatan badan dan minda.

“Gaya hidup sihat bermakna anda mempunyai fizikal yang cergas, bertenaga termasuk memiliki minda yang sihat, yang membantu ke arah hidup lebih gembira dan ceria,” jelas beliau.

Lee memberitahu demikian semasa merasmikan Jogaton Amal Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Luak, anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, di sini.

Lebih 100 murid mengambil bahagian dalam acara berkenaan yang bertujuan mengutip dana untuk membiayai aktiviti-aktiviti sekolah.

Mengenai penganjuran acara tersebut, Lee memberitahu bahawa selain mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan murid ia juga untuk menyemai semangat perpaduan dan bersatu dalam diri generasi muda, khususnya dalam projek-projek amal melibatkan sekolah.

Pada masa yang sama katanya, pihak sekolah turut menyemai semangat saling membantu di kalangan murid-muridnya termasuk menerusi acara jogaton amal bagi mengutip dana menerusi kad-kad kutipan mereka.

“Hasil kutipan daripada kad-kad jogaton amal ini kelak, secara tidak langsung akan mewujudkan rasa tanggungjawab dan pemilikan di kalangan murid dan ibu bapa yang terbabit ke arah menjayakan usaha ini,” tambah Lee.

Pada majlis yang sama, Lee turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 untuk memperbaiki sistem perparitan di kawasan sekolah termasuk untuk dana PIBG, bagi membantu membiayai aktiviti mereka sepanjang tahun ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi PIBG SK Kampung Luak Norsarihan Ahmad dan Guru Besar Sabtu Matali.

Advertisement