Anda di sini

Peralihan kuasa tidak akan jejas pelaksanaan projek SCORE: Len

Advertisement

KUCHING: Peralihan kuasa kepada Ketua Menteri yang baharu menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh berkata Taib sebagai perintis telah merintis jalan untuk kejayaan SCORE dan apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah memperkukuhkan apa yang telah dijayakan oleh beliau.

“Sesiapapun pengganti Pehin Sri Taib kelak beliau haruslah daripada kalangan individu yang berkaliber dan mempunyai perancangan strategik dan berpandangan jauh seperti apa yang telah diilhamkan oleh Pehin Sri Taib menerusi SCORE.

“Kita di Sarawak ini mempunyai kira-kira 40,000 golongan muda yang akan memasuki pasaran dan kita harus memikirkan perkara ini, di mana kita harus meletakkan mereka dari segi pekerjaan, pendidikan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Negeri di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan SCORE ketika ini, Len Talif berkata dari segi pelaburan, kerajaan negeri katanya telah menerima kemasukan pelaburan yang memberangsangkan bagi projek di Samalaju dengan nilai yang menjangkau RM28 bilion.

Bagaimanapun katanya, bagi projek di Tanjung Manis agak perlahan tetapi ketika ini kerja-kerja bagi menyediakan infrastruktur seperti air, jalan dan sebagainya sedang giat dilaksanakan.

“Bagi projek di Hab Halal Tanjung Manis pula, ia agak perlahan dari segi kemasukan pelaburan tetapi dari segi infrastruktur kini ia sedang pantas dibangunkan.

“Saya yakin Ketua Menteri yang baharu kelak mampu merancakkan lagi pertumbuhan SCORE dengan adanya bimbingan dan panduan daripada Pehin Sri Taib sebagai perintis kepada SCORE,” tambahnya.

Sementara itu Menteri Kanan yang juga Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing ketika ditemui semalam turut yakin bahawa peralihan kuasa ini tidak akan menjejaskan ekonomi dan pentadbiran Sarawak.

“Saya tidak rasa ia akan memberi impak kepada ekonomi dan pentabdiran Sarawak kerana kita sekarang telah berada di landasan yang tepat cuma yang perlu dilakukan ialah memperkukuhkan lagi apa yang telah kita kecapi.

“Saya cuma harap selepas Pehin Sri Taib bersara, beliau tidak akan terus mengundurkan diri daripada perkembangan Sarawak kerana kami masih lagi memerlukan nasihat beliau dalam membangunkan Sarawak,” ujarnya.

Advertisement